
18 Peserta Dari 4 Program Realiti Bertarung Dalam Ceria Megastar
Seramai 18 peserta bakal bertarung dalam sebuah program realiti terbaharu terbitan Astro iaitu Ceria Megastar yang bakal memulakan siarannya pada 2 Mac ini.
Menariknya, Ceria Megastar mengambil format dengan mengumpul 18 peserta terbaik daripada empat program realiti nyanyian terdahulu seperti Ceria Popstar, Ceria All Stars, Ceria i-Star dan Bintang Kecil.
Menurut Penolong Naib Presiden Segmen Kanak-Kanak & Remaja, Marissa Hanafi, program ini dihasilkan bagi memberikan peluang kepada peserta yang pernah menyinar dalam pertandingan sebelum ini untuk terus memperkukuhkan bakat mereka.
“Buat julung kalinya, kami di Astro Ceria membuka pintu kepada bakat-bakat hebat yang lahir daripada empat program ini untuk berada di satu pentas utama dan sekali lagi mempertaruhkan bakat masing-masing demi merebut gelaran Megastar.
“Bagi menjayakan program Ceria Megastar ini, kami telah menjemput semua peserta terbaik daripada setiap program tersebut untuk sesi ujibakat tertutup yang telah di Astro baru-baru ini. Dari situ, kita menilai semula bakat yang dipersembahkan oleh setiap peserta dan mengambil kira faktor-faktor seorang bintang, terutamanya aura seni yang terbit dari dalam diri mereka,” ujarnya menerusi satu kenyataan media.
Menurutnya, barisan 18 peserta Ceria Megastar itu merupakan mereka yang terbaik dalam kalangan terbaik dan kesemua peserta yang terlibat dalam program berkenaan berusia dalam lingkungan umur 10 hingga 20 tahun.
Peserta yang bakal bersaing adalah Aniq, Alyssa, Chubb E-JoMeGo, Dayang, Fikri, Kashika, Jun, Iqmal Fikry, Iqbal, Hazury, Hazriq, Rezza, Vanessa dan Sheikh Baseer .
Lebih menarik, Ceria Megastar ini turut menampilkan peserta luar iaitu dari Jakarta, Indonesia iaitu Syifa yang merupakan juara Ceria i-Star.
Ceria Megastar yang akan bersiaran bermula 2 Mac ini, pada jam 9 malalm akan ditayangkan di Astro Ceria (611), Astro Prima (105) dan Maya HD (135).
Selebriti Datuk Aznil Nawawi dan pelawak Johan telah dipilih sebagai juri tetap manakala Nabil Ahmad diberi tanggungjawab menghoskan program itu nanti.
Peserta akan diadili juri tetap sehingga episod separuh akhir manakala di peringkat akhir, 50 peratus markah daripada juri, 30 peratus menerusi undian atas talian dan 20 peratus menerusi undian SMS.
Juara Ceria Megastar bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi dan tiga lagi finalis bakal menerima wang tunai RM5,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro. – KopiPlanet.com