
Amalkan Gaya Hidup Sihat, Johan Berjaya Turunkan Berat Badan
Mula mengamalkan gaya hidup sihat sejak dua bulan lalu akhirnya berbalas apabila pelawak dan pengacara popular Johan atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim Muhammad Aziz telah berjaya menurunkan berat badannya.
Menurut Johan, kini berat badannya sudah susut kepada 73 kilogram berbanding 95 kilogram sebelum ini, iaitu penurunan sebanyak 22 kilogram.
“Berat badan saya dulu 95 kilogram, kini dah turun kepada 73 kilogram dan saya buat semua ini demi keluarga. Saya tahu ajal maut di tangan Tuhan, tetapi sekurang-kurangnya kita kena berusaha untuk jaga kesihatan.
“Saya pun kalau boleh nak tengok sehingga anak naik pelamin dan dapat timang cucu. Yang penting kita berusaha dan tawakal dalam menjaga kesihatan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Johan ditemui pada majlis pelancaran program Lawak Live: Jozan di Black Bull, Avenue K, Kuala Lumpur semalam.
Berkongsi rutin hariannya sejak dua bulan lalu, Johan berkata, dia terus menyekat pengambilan susu serta minuman dan makanan manis bagi aktiviti penurunan berat badannya itu.
“Saya memang dah tak ambil minuman, makanan bergula dan juga susu. Selain itu, setiap hari saya akan berlari dan tidak akan menjamah makanan selepas jam lima petang. Lepas pukul lima, saya hanya minum air kosong sahaja jika terasa lapar.
“Bila waktu malam pula saya main bola sepak. Jadi, proses pembakaran lemak dapat berjalan dengan lancar, sekali gus berat saya turun 22 kilogram dalam masa dua bulan,” katanya lagi.
Sementara itu, mengenai program Lawak Live: Jozan yang bakal bersiaran pada 24 Julai ini, Johan berkata dia dan rakan gandingannya Zizan Razak akan cuba mengacarakan program itu sebaik mungkin.
Ini merupakan gandingan pertama mereka sejak tujuh tahun lalu dan pastinya kerinduan peminat terubat apabila melihat mereka digandingkan sekali lagi dalam satu pentas yang sama.
“Kali terakhir saya ada program bersama Zizan pada tujuh tahun lalu. Selepas itu, kami hanya bekerjasama melalui acara atau majlis luar sahaja.
“Apabila dapat tawaran untuk program ini, saya terus terima sebab tertarik dengan idea konsep yang digunakan.
“Program ini ada 40 episod dan ia sesuatu kerja yang panjang serta memberi peluang untuk saya memperbaiki kelemahan setiap episod,” katanya.
Lawak Live: Jozan akan mula ditayangkan pada 24 Julai ini bermula pukul 10 malam menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124). – KopiPlanet.com