
Dua kumpulan rock gergasi, May dan Prime Domestic bakal bergabung dalam satu konsert Rock Legend 2018 yang akan berlangsung pada 5 Mei ini di Maeps, Serdang.
Menerusi konsert yang akan berjalan selama tiga jam itu, May dan Prime Domestic akan bergabung kehandalan band masing-masing bagi memeriahkan lagi konsert yang dihadiahkan khas buat peminat masing-masing.
Gitaris Prime Domestic, Joe berkata konsert kali ini mereka akan cuba membawa kelainan menerusi susunan muzik yang lebih baharu dan segar bagi memenuhi citarasa penggemar muzik masa kini.
“Kami ada 10 buah lagu menerusi album terbaharu, Prime Domestika dan kami akan cuba susun gubahan lagu agar dapat beri kelainan apabila peminat datang menonton konsert ini nanti. Selain itu kami ada perancangan untuk berkolaborasi bersama May dalam konsert ini juga. Kalau nak tahu macam mana hasilnya, jom ramai-ramai datang gegarkan konsert,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Rock Legend 2018 May dan Prime Domestic di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur semalam.
Selain Joe, Prime Domestic yang ditubuhkan pada awal tahun lalu dianggotai oleh Hillary Ang (gitar), Aweera (vokalis), Fauzi (pemain bass) dan Ainol selaku pemain drum sementara May diterajui Mus (vokalis), Man (pemian drum) dan Yus selaku pemain bass.
Sementara itu, penganjur konsert Dreamstage telah mengambil langkah proaktif dengan menggunakan dua paparan LED gergasi sebagai live feed untuk para penonton melihat persembahan di pentas secara lebih baik lagi.
“Pihak kami turut menggunakan enama buah menara sistem bunyi untuk mendapatkan impak yang terbaik dan sistem stereo bunyi keliling versi 5.1 untuk mendapatkan kejelasan butiran bunyi dan ambience yang benar-benar akan memberi kepuasan kepada penonton,” kata wakil penganjur.
Harga tiket dijual pada harga RM68, 120 dan RM180 boleh didapati dengan melayari laman web www.ilassotickets.com atau www.dreamstageconcert.com serta menerusi talian hotline 03-21706333 atau 017-2630437. – KopiPlanet.com