
21 Penyanyi Popular Terjah Tempat Busking Demi My Buskers
Seramai 21 penyanyi popular tidak segan silu turun menyanyi di tempat tumpuan umum di sekitar Lembah Klang demi mengumpul dana untuk diberikan sumbangan kepada artis veteran tanah air.
Program berjudul My Buskers itu menyaksikan aksi busking daripada Black, Neeta, Jaclyn Victor, Exists, Bunkface, Siti Sarah, Mark Adam, Hujan, Tomok, Datuk Awie, Azharina, Adira Suhaimi, Ameng, Drama Band, Usop, Ruffedge, One Nation Emcees, Datuk Hattan, Azlan Typewriter, Amelina dan Lan Solo.
My Buskers sudah memulakan siaran sejak 12 Disember lalu di Astro Prima, setiap Khamis, jam 9 malam.
Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, “Budaya muzik jalanan atau busking bukanlah suatu yang asing dan semakin diterima baik dalam kalangan masyarakat kita. Selain mempunyai jumlah pengikut yang besar terutamanya di laman media sosial, kehadiran golongan penghibur jalanan ini juga semakin dikenali dalam arus perdana.”
“Uniknya program ini bakal menampilkan kolaborasi dinamik di antara barisan penyanyi profesional dan buskers yang berganding bahu bagi memenuhi misi yang sama iaitu untuk menghiburkan dan membantu meringankan beban mereka yang memerlukan pada masa yang sama,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran My Buskers yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tiga kumpulan buskers iaitu Genji Buskers, Sara-Sara dan Gersik telah dipilih sebagai pemuzik yang mengiringi setiap persembahan penyanyi yang terlibat dalam progam tersebut.
Segala hasil kutipan daripada persembahan busking itu, ia akan diserahkan kepada barisan artis di bawah naungan Seniman antaranya seperti Wan Maimunah, adik Putri Balqis, Pian Cecupak, Kartina Aziz, Joey BPR, Shima, Azman Idris, Hamid Gurkha, Alina Hassan dan Ku Faridah.
Rakaman program ini telah diadakan di empat buah lokasi terpilih sekitar Lembah Klang iaitu di Sogo, Lot 10, Tapak dan The Port. – KopiPlanet.com