Kemeriahan terasa di Drum Asia Live, Oceanus Waterfornt Mall, Kota Kinabalu Sabah, baru-baru ini apabila seramai 5,000 peminat hadir membanjiri lokasi itu bagi menyaksikan konsert dua bintang kelahiran Sabah iaitu Marsha dan Velvet.
Sepanjang konsert berlangsung, peminat dihiburkan dengan 16 lagu hit dan persembahan duet daripada kedua-dua penyanyi tersebut.
Memulakan konsert, Marsha menyampaikan lagu hitsnya seperti Hilang, Bebaskan dan Untuk Terakhir Kali. Selain itu, Marsha turut menampilkan Kumpulan Koir Unity Chorale untuk lagu Lay Me Down dan Bebaskan.
Tiba giliran Velvet, penyanyi itu menghiburkan penonton dengan lagu ciptaannya sendiri berjudul Tolong, Jauh, Bayanganmu, Ku Perlu dan lagu bahasa Sabah, Onuai Oku Timpu.
Di penghujung konsert, Marsha dan Velvet membuat kejutan apabila mendendangkan lagu duet terbaharu mereka iaitu Sumandak Sabah.
“Kami berasa sangat bertuah dengan sokongan yang diberikan oleh semua yang hadir pada malam ini. Setiap sorakan dan tepukan bagaikan memberi energi kepada setiap persembahan kami.
“Setelah sekian lama menyimpan impian, akhirnya tercapai dan ia memberikan memori paling manis buat kami apatah lagi konsert ini diadakan ditempat kelahiran kami di Sabah,” kata Marsha.
Velvet sementara itu pula berkata, konsert ini memberikan bayangan kepada peminat bahawa dia masih lagi aktif dalam bidang nyanyian di sebalik kesibukan sebagai penyampai radio di Kupi Kupi FM.
Konsert Marsha dan Velvet ini dianjurkan oleh Drum Asia Studio dengan kerjasama Bornaya Records, Kupi Kupi FM dan Bryan Kouju Studios. – KopiPlanet.com