
Kegemilangan filem King of Comedy yang pernah ditayangkan pada 1999 bakal diteruskan dengan filem terbaharu yang berjudul The New King of Comedy.
Akan memulakan tayangannya di pawagam bermula pada 5 Februari ini, Stephen Chow tidak terlibat sebagai pelakon, sebaliknya dia tampil selaku pengarah dan penerbit untuk filem berkenaan.
Filem ini dibintangi pelakon popular seperti E Jing Wen, Wang Baoqiang, Tin Kai-man, Zhang Quandan, Ji Ruyang, Zhang Qi dan Yuan Xingze.
Menurut Stephen Chow, filem terbaharu ini dihasilkan dengan tema untuk memberi inspirasi kepada pelakon tambahan yang akhirnya berjaya menjadi seorang pelakon terkenal.
“Menerusi filem ini, saya menerapkan falsafah ‘bekerja keras untuk berjaya’, biarpun terdapat pelbagai rintangan yang harus dihadapi.
“Selain itu, ada juga sebahagian babak yang memberikan gambaran tentang kehidupan dan kerjaya saya dalam 20 tahun terakhir ini dan berharap ia memberi inspirasi kepada penonton,” ujarnya.
Sementara itu, Jing Wen yang melakonkan watak utama sebagai Dreamy berkata, dia berasa terkejut saat ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan.
“Apabila penolong pengarah menghubungi saya dan diberitahu telah dipilih untuk berlakon dalam filem terbaharu arahan Stephen Chow, saya seperti tidak percaya.
“Sehinggakan penolong pengarah tersebut menghubungi saya sebanyak tiga kali. Apabila ditunjukkan bukti, barulah saya percaya kerana sebelum itu saya risau sekiranya ditipu.
“Dalam The New King of Comedy saya menjayakan peranan sebagai seorang gadis yang tidak kisah tentang keseronokan dan itu adalah dirinya saya yang sebenar di dunia nyata.
Jing Wen turut menyatakan sepanjang bergelar pelakon dia tidak pernah berputus asa untuk mencapai impiannya menjadi pelakon terkenal dan berasa amat gembira dengan peluang berlakon dalam filem di bawah arahan Stephen Chow itu.
*SINOPSIS
Seorang gadis, Dreamy yang merupakan seorang pelakon tambahan dan mempunyai impian untuk bergelar seorang bintang filem. Dia telah berusaha keras selama bertahun-tahun tetapi tidak dapat mendapatkan watak utama.
Ayahnya pula telah memberikan tekanan yang kuat, malah ahli keluarganya pula cuba memujuknya untuk berhenti berlakon. Namun, hanya teman lelakinya, Charlie tetap menyokong impiannya itu.
Ketika berada di set pengambaran sebuah filem, Dreamy bertemui dengan Marco, seorang pelakon yang pernah terkenal suatu masa dahulu. Namun begitu, Marco sedang mengalami kegagalan sebagai seorang artis dan telah menjadikan dirinya berada dalam kemurungan.
Kemudian dia memaksa Dreamy supaya tidak berhenti dan terus berlakon dengan lebih bersemangat. Sehinggalah Dreamy akhirnya tidak dapat bertahan dalam mengejar impiannya dan akhirnya berputus asa. Dreamy mengambil keputusan untuk kembali kepada ibu bapanya dan mencari pekerjaan yang lebih baik.
Pada masa yang sama, dia secara tiba-tiba mendapat panggilan telefon dan diberitahu telah diterima dalam uji bakat oleh pengarah terkenal yang pernah dihadirinya sebelum ini dan mendapat tawaran sebagai pelakon utama dalam filem. Dreamy kini tersekat di antara impiannya dan realiti.. – KopiPlanet.com