
Bakal Berkahwin Buat Kali Kedua, Fasha Tak Beriya-Iya Buat Persiapan
Bakal kembali memegang status sebagai seorang isteri pada hujung bulan Mac ini, pelakon Fasha Sandha berkata setakat ini persiapan perkahwinannya sudah 30 peratus selesai.
Menurut pelakon berusia 35 tahun ini, dia tidak terlalu beriya-iya melakukan persiapan untuk perkahwinan kali ini.
“Saya percaya mana-mana ibu tunggal yang bakal berkahwin semula akan memiliki perasaan sama. Saya kurang beriya-iya untuk buat persiapan kahwin kerana ia perkahwinan buat kali kedua.
“Selain itu, saya sedang sibuk dengan tuntutan kerja pada ketika ini. Jadi, persiapan untuk majlis perkahwinan kali ini juga serba sederhana,” kata Fasha kepada KopiPlanet.com
Fasha ditemui pada sesi taklimat media Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019) di Theatrette, Balai Berita NSTP Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
Masih enggan mendedahkan tarikh dia bakal diijabkabulkan dengan Aidil Aziz, Fasha bagaimanapun sudi berkongsi cerita yang dia akan bernikah di masjid di kampung halamannya di Perlis.
Pasangan ini akan mengadakan dua majlis resepsi bagi meraikan sanak saudara dan rakan taulan.
“Saya akan mengadakan majlis resepsi secara kecil-kecilan sahaja selepas majlis akad nikah nanti dan akan dihadiri keluarga terdekat.
“Manakala, majlis resepsi yang berlangsung di sebelah pihak lelaki akan berlangsung secara besar-besaran, di Rembau, Negeri Sembilan. Maklumlah, ia perkahwinan pertama buat Aidil pastinya dia mahukan majlis lebih meriah,” kata Fasha.
Terdahulu, Fasha bertunang dengan Aidil pada tanggal 18 November lalu selepas beberapa bulan berkawan rapat.
Hasil perkahwinan terdahulu, Fasha dikurniakan sepasang cahaya mata, Putra Rayfal Ramli, 5, dan Puteri Raysha Jemyma, 4. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Fasha Sandha