
Green Book Dinobat Filem Terbaik Oscar Ke-91, Raih Tiga Anugerah
Filem arahan Peter Farrelly berjudul Green Book yang dilakonkan oleh Viggo Mortensen, Mahershala Ali dan Linda Cardellini telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik Oscar Ke-91.
Dalam acara Academy Awards yang berlangsung Dolby Theatre in Hollywood, Los Angeles, filem berkenaan menewaskan beberapa filem lain seperti Black Panther, BlacKkKlansman, Bohemian Rhapsody, The Favourite, Roma, A Star Is Born dan Vice.
Selain dinobatkan Filem Terbaik, Green Book juga turut meraih dua lagi anugerah daripada lima kategori yang turut dicalonkan iaitu menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Mahershala Ali) dan Lakon Layar Terbaik.
Biarpun berjaya meraih kategori Filem Terbaik, namun pengarah Peter Farrelly tidak tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik yang dimenangi Alfonso Cuaron menerusi filem Roma.
Sementara itu, filem biografi mengenai penyanyi Freddie Mercury iaitu Bohemian Rhapsody yang tercalon untuk lima kategori pula berjaya membawa empat pulang anugerah.
Pelakon utamanya iaitu Rami Malek berjaya menggondol anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Selain itu, filem berkenaan turut membawa pulang kategori Suntingan Bunyi Terbaik, Olahan Bunyi Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik. – KopiPlanet.com