
Hanya Bercakap Benar, A. Aida Harap Kenyataan Tidak Dianggap Keterlaluan
Penerbit Datuk A. Aida mengharapkan kenyataannya sebelum ini tidak dianggap keterlaluan dan mahu semua pihak memahami maksud kenyataannya dengan sebaik mungkin serta menerimanya dengan hati terbuka.
Jelasnya, dia hanya mahu bercakap benar berkenaan dengan situasi sebarang yang berlaku dalam industri filem dan drama di negara ini.
“Saya membuat kenyataan sebegitu sebab sebagai seorang penerbit saya tak mahu menjadi seorang yang hipokrit. Kita harus beritahu hal yang jujur supaya semua pihak mendapat maklumat yang tepat tentang industri kita ini.
“Menghasilkan produk seni ia adalah satu bisnes. Mana ada orang bisnes yang mahu rugi. Apa yang saya katakan sebelum ini adalah bermaksud bahawa pelakon perlu hadir dengan pakej, rupa dan bakat.
“Saya tidaklah cakap kalau kacak dan cantik tetapi tidak punya bakat boleh diterima dengan mudah oleh penerbit. Meskipun kalau seseorang itu cantik kalau tiada bakat pun, tidak boleh pergi jauh.
“Maknanya kalau ada bakat tetapi tanpa rupa, tidak akan ke mana-mana kerana kehendak industri itu sendiri yang perlu ada bakat dan rupa untuk pergi jauh,” jelasnya.
Menurut A. Aida, apa yang ingin ditekankan adalah perlu ada yang punya pakej, bakat dan rupa dan ia penting sekiranya hendak pergi jauh dan hanya bercakap bagi pihak penerbit yang memahami kehendak stesen TV.
“Sebagai orang berniaga, kami harus memenuhi pihak yang kita beri perkhidmatan. Melihat kepada diri sendiri, saya bermula sebagai pelakon. Namun, saya pun jarang berlakon jadi heroin drama atau filem, kenapa?
“Sebabnya saya ni tidaklah secantik seperti Ogy Ahmad Daud, Sofea Jane atau Melissa Saila. Kemudian, apabila saya beralih ke dunia penerbitan, saya boleh dianggap sebagai antara penerbit yang berjaya.
“Kenapa? Sebabnya syarat nak menjadi penerbit tidak harus cantik, jadi saya boleh berjaya dan bersaing dalam bidang penerbitan yang tidak memerlukan paras rupa yang cantik untuk pergi lebih jauh.
“Berbanding menjadi pelakon utama yang menjadikan faktor fizikal dan kecantikan sebagai asas utama, untuk orang yang kurang cantik macam saya mungkin lebih baik. Itu yang saya maksudkan…,” ujarnya. – KopiPlanet.com