
Latihan Tentera: Pihak Berkuasa Nafi T.O.P Dapat Layanan Istimewa
Susulan dakwaan mengatakan ahli kumpulan Big Bang, T.O.P mendapat layanan istimewa sepanjang dia menjalani latihan ketenteraan, Pejabat Daerah Yongsan menafikan perkara tersebut.
Menurut laporan MBC sebelum ini, T.O.P dikatakan telah mengambil banyak cuti sakit daripada rakan-rakan sepasukan yang lain selain dia tidak menyertakan dokumen yang sah mengenai cuti berkenaan.
Menjawab dakwaan itu, wakil pejabat daerah itu mengatakan, “Jika pekerja perkhidmatan awam ingin mengambil cuti sakit selama empat hari berturut-turut, mereka perlu mengemukakan kepada kami penyakit yang dihidapinya.”
“Namun, T.O.P tidak perlu menyatakan penyakitnya sebab cuti empat hari yang diambilnya itu termasuk dua hari cuti hujung minggu. Jadinya, dia tidak perlu menjelaskan tentang penyakitnya.
“Malah setiap pelatih berhak mendapat cuti sakit sebanyak 30 hari sepanjang menjalani latihan. Jika mereka masih lagi tidak sihat, mereka boleh melanjutkan tempoh cuti sakit dengan mendapat keizinan daripada ketua jabatan terlebih dahulu,” jelas wakil tersebut.
Wakil itu turut mengkritik pihak media yang membuat andaian sendiri tanpa mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkaitan sebelum mengulas tentang sesuatu isu. – KopiPlanet.com