
Selepas mencatat kutipan pecah panggung RM18 juta menerusi BoboiBoy: The Movie yang ditayangkan tiga tahun lalu, penerbit Animonsta Studios (Monsta) kini tampil dengan BoboiBoy Movie 2 yang bakal menjengah pawagam seluruh negara mulai 8 Ogos ini.
Filem animasi penggembaraan ini akan ditayangkan di 144 pawagam tempatan, 150 di Indonesia, Vietnam (120), Singapura (8) dan Brunei (4). Yang menariknya, pihak Monsta turut menyasarkan tayangan di Korea Selatan, India dan China dalam masa terdekat selain telah menerima permintaan untuk ditayangkan di Thailand dan Filipina.
“Kami berharap BoboiBoy Movie 2 dapat menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat. Filem ini dibuat khas untuk segenap umur, dari peminat yang kecil mahupun yang dewasa, hinggalah kepada seisi keluarga. Kami gembira dapat mencipta filem yang dapat ditonton beramai-ramai.
“Dengan sasaran kualiti yang lebih tinggi, sememangnya cabaran yang perlu dihadapi untuk menghasilkan filem animasi yang rumit adalah sangat besar. Namun berbekalkan pengalaman dari filem pertama dan penggunaan teknologi yang lebih efisien dan dinamik, BoboiBoy Movie 2 berjaya disiapkan dalam tempoh 12 bulan sahaja dengan kos sebanyak RM7 juta.
“Mesej utama yang diterapkan dalam filem ini ialah tidak mudah putus asa dan kerjasama. Matlamat Animonsta Studios adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni sambil menghiburkan penonton dengan jalan cerita dan watak-watak yang menarik,” kata Ketua Pegawai Eskekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak.
Sementara itu, Penolong Kanan Naib Presiden, Ketua Pemasaran & Pengedaran Astro Shaw, Norsalvina Alwee berkata, “Kami di Astro Shaw sentiasa ingin menghasilkan dan memasarkan filem-filem yang berkualiti. Kami melihat jenama dan kualiti filem BoboiBoy Movie 2 ini mampu memberikan kepuasan buat penonton dan ia setanding dengan filem animasi antarabangsa. Oleh yang demikian, kami berasa bangga dipilih untuk bekerjasama dengan pihak Animonsta Studios untuk memasarkan dan mengedarkan filem ini.”
BoboiBoy Movie 2 mengisahkan tentang BoboiBoy dan rakan-rakannya yang diserang oleh Retak’ka, pengguna asal Kuasa Elemental. Retak’ka ingin merampas semula Kuasa Elemental dari BoboiBoy dan menggunakannya untuk menguasai galaksi. BoboiBoy dan rakan-rakan perlu mencari cara untuk menghentikan Retak’ka dan menyelamatkan galaksi daripada ancamannya.
Untuk runut bunyi (OST) filem ini, penyanyi Faizal Tahir diberi kepercayaan untuk menggubah dan menyanyikan lagu Fire & Water. Lagu ini menerapkan mesej positif yang menekankan semangat percaya pada diri dan tidak mudah berputus asa. – KopiPlanet.com