Cerita ArtisHiburan

Siti Sairah Mahu Buat ‘Comeback’, Pertaruh OST Filem Anak Perjanjian Syaitan

Kali terakhir mengeluarkan single pada dua tahun lalu, kali ini penyanyi Siti Nursairah Tarudin atau Siti Sairah mempertaruhkan lagu runut bunyi (OST) filem seram Anak Perjanjian Syaitan bagi membuat kemunculan semula dalam bidang seni.

Lagu OST berjudul Suara itu merupakan ciptaan komposer Ayeen Crossfire manakala liriknya turut mendapat nukilan Ayeen Crossfire serta suami Sairah sendiri iaitu Mohd Edane.

“Bila pihak produksi mendekati kami untuk mencipta lagu OST filem Anak Perjanjian Syaitan, saya dan suami fikir ini mungkin peluang untuk buat kemunculan semula. Saya rasa lagu ini boleh jadi jalan permulaan untuk saya terus berkembang dalam bidang seni memandangkan saya pun sudah lama berada dalam industri ini.

“Saya pasti setiap penyanyi pastinya ada keinginan untuk jadikan lagu kita sebagai lagu OST filem. Bila dapat peluang ini, saya rasa ini adalah masa yang sesuai dan saya harap lagu ini meletup dan dapat diterima ramai,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sairah ditemui semasa menjalani penggambaran muzik video Suara yang diadakan di Batu 20 Kuang, Selangor, semalam. Muzik video tersebut diarahkan oleh Ahmad Mustadha dengan bantuan lima krew produksi.

Sementara itu, ketika diajukan soalan mengenai adakah timbul kegusaran di hatinya memandangkan kakaknya, Datuk Seri Siti Nurhaliza pun turut menyanyikan lagu OST untuk sebuah filem seram lain, Sairah berkata dia tidak risau menerima tekanan daripada netizen yang gemar membandingkan penyanyi-penyanyi di luar sana.

“Memang kebetulan saya dan kak Siti menyanyi lagu OST untuk dua filem seram berbeza dan saya tidak risau dan saya tidak fikir pun apa orang nak cakap. Netizen ini biasalah ada yang akan puji dan keji kita.

“Saya menyanyi dengan ikut cara saya sahaja lagipun orang akan dapat bezakan suara saya dan kak Siti. Suara saya jenis husky dan kasar sedikit manakala kak Siti lebih merdu dan mendayu,” katanya.

Muzik video yang dilakukan di kawasan hutan itu memperlihatkan Sairah menampilkan mood ‘seram’ dengan memakai baju tradisional Cik Siti Wan Kembang berwarna maroon rekaan Dween Raha.

“Seram sejuk juga nak buat shooting di kawasan hutan, tapi niat kita untuk mencari rezeki jadi kita minta izin dahulu seperti biasa. Saya cuma berharap segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan,” ujar lagi.

Suara merupakan lagu OST filem Anak Perjanjian Syaitan arahan Helmi Yusoff yang dibintangi Chacha Maembong dan Nadzmi Adhwa. Ia akan ditayangkan pada 24 Oktober ini di 80 pawagam seluruh negara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button