
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan bakal menganjurkan acara KL International Urban Youth Festival yang akan berlangsung di Dataran Medan Pasar, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Festival yang diadakan secara percuma itu nanti akan menampilkan kepelbagaian acara daripada sesi persembahan seperti muzik, seni graffiti, x-games dan E-sport.
Tidak ketinggalan acara kemuncaknya yang bakal menampilkan kepelbagaian persembahan genre muzik dalam dan luar negara seperti Hip-Hop, Indie Rock dan Reggae.
Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, penganjuran festival ini adalah salah satu manifesto di bawah program Inisiatif Wilayah Peduli yang membuka peluang bagi golongan remaja warga kota untuk berekspresi dengan kepelbagaian sub-budaya yang mereka minati secara sihat dan terkawal.
Dalam masa yang sama turut membuka ruang niaga sepanjang acara berlangsung, yang pastinya dapat meningkatkan ekonomi golongan belia yang turut serta.
“Sebagai permulaan, KL International Urban Youth Festival berlangsung dengan skala sederhana serta penglibatan daripada aktivis seni Negara berhampiran sahaja seperti dari Indonesia, Thailand dan Singapura.
“Di masa akan datang kami akan kembangkan acara ini dengan penglibatan penyertaan yang lebih luas lagi. Di antara objektifnya akan menjadikan acara sebegini sebagai di antara produk pelancongan bagi kota Kuala Lumpur,” katanya.
Di antara selebriti yang terlibat ialah kumpulan Bittersweet, Banyak Bunyi Republik, Diplomat of Drum, Ryotjones dan penyanyi Indonesia, Ras Muhammad beserta variasi acara seperti sesi open mic, B-boy dan lain-lain aktiviti sepanjang acara berlangsung.
“Bagi peminat yang merindui Bittersweet, marilah sama-sama bertandang ke Dataran Medan Pasar Sabtu ini. Ia platform terbaik untuk anda merehatkan minda setelah seminggu penat bekerja,” ujar Fizan vokalis Bittersweet yang cukup popular dengan lagu Kucing Hitam dan Capital E. – KopiPlanet.com