
Pekin Ibrahim Sindir Ahmad Idham Di FFM 29?
Acara Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM 29) baru sahaja melabuhkan tirainya pada hari Sabtu yang lalu dan keputusannya pun semua sudah sedia maklum.
Sebelum Cik Kopi nak mengomel panjang-panjang, pertama sekali Cik Kopi nak ucapkan sekalung tahniah kepada semua pemenang, terutama sekali Adiwiraku yang dinobatkan Filem Terbaik.
Cuma, sudah menjadi kebiasaan apabila berakhirnya sesebuah acara anugerah pasti ada isu yang berbangkit, tetapi kali ini bukan berkaitan dengan keputusan.
Pertama, rasanya ramai yang dah tahu tentang kekecohan tentang beberapa artis bergelar Datuk, terutamanya Datuk Hans Isaac dan Datuk Eizlan Yusof yang kurang senang dengan statement pengacara Zizan Razak.
Bagaimanapun, bukan perkara itu yang Cik Kopi nak ulas, namun ada satu lagi perkara yang agak menarik perhatian.
Sebenarnya, kalau sesiapa yang menonton FFM 29 sewaktu pelakon Pekin Ibrahim menyampaikan anugerah, pasti akan perasan tentang kata-kata awalnya.
“Saya rasa lepas ni kita tambah satu anugerah lagilah. Anugerah tajuk asal filem terbaik, sebelum ada hantu rembat,” ujar Pekin memulakan bicara.
Mungkin kata-kata ini nampak biasa sahaja, namun ada juga pihak yang menyatakan kata-kata itu sebenarnya ditujukan kepada pengarah Ahmad Idham.
Rasanya ramai yang dah tahu sekarang ni Pekin sedang sibuk menyiapkan filem terbaharunya berjudul KL Wangan yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
Tup…tup… tiba-tiba muncul pula sebuah lagi filem berjudul seakan-akan sama iaitu Hantu Wangan yang diarahkan oleh Ahmad Idham.

Sebelum ini pun dah timbul konflik antara kedua-duanya berhubung dengan pembikinan filem Mat Moto dahulu. Cik Kopi tak sangka pula timbul pula isu mengenai ‘Wangan’ ni.
Entahlah, Cik Kopi sendiri pun tak tahu nak ulas macam mana berhubung perkara ni. Mungkin kalau masih ada lagi rasa tidak puas hati kedua-dua belah pihak, eloklah bersemuka sahaja.
Rasanya itu sahaja jalan yang terbaik!
Cik Kopi: Tak elok gaduh-gaduh, industri perfileman negara kita ni pun taklah besar mana.