
Tunang Raja Afiq Antara Peserta Program Nyanyian Suara Viral
Tunang kepada pelakon Raja Afiq, Soffwany atau nama sebenarnya, Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 31, terpilih bergelar salah seorang peserta program pencarian bakat nyanyian terbaharu Astro, Suara Viral.
Koperal Pemerhati Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sebelum ini pernah menjadi tular dengan video nyanyiannya bersama iringan kombo PDRM dan dikenali dengan gelaran ‘akak polis cantik’ oleh netizen.
Suara Viral yang akan bersiaran setiap hari Rabu bermula 17 Jun ini, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) turut menampilkan sembilan peserta lain yang kebanyakannya mempunyai kerjaya tetap yang sama sekali tidak berkaitan dengan bidang hiburan.
Antaranya Bobby, 32, (rider), Bella, 31, (Eksekutif Perhubungan Awam), Boy, 32, (Krew Teknikal Audio), Jerry, 36, (Setiausaha Pertahanan Awam), Azrul, 38, (Pegawai Lalu Lintas Pembinaan), Farid, 30, (Jurutera Mekanikal), Sulastrie (Anggota Polis), Ameem, 32, (Eksekutif Pemasaran) dan Farah, 32, (Anggota Tentera).
Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata inisiatif program ini adalah selaras dengan perkembangan terkini yang lebih terarah kepada kuasa viral di media sosial selain ingin mencungkil bakat nyanyian untuk diketengahkan ke pentas televisyen.
“Trend masa kini mempunyai nilai kebergantungan yang tinggi kepada elemen yang bersifat tular. Kami menyambut baik perkembangan ini kerana ia secara tidak langsung turut mengubah nilai komersial kandungan yang ditawarkan.
“Menerusi Suara Viral, para peserta diberi peluang untuk mempamerkan bakat dan kreativiti masing-masing yang selama ini mungkin hanya dipertontonkan di alam maya ke alam sebenar.
“Mengikut perancangan asal, Suara Viral sepatutnya disiarkan secara langsung. Namun, bagi mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha untuk mengekang wabak Covid-19, program ini hanya akan diteruskan dengan rakaman awal tanpa melibatkan kehadiran penonton di studio,” katanya pada sidang media Suara Viral yang diadakan secara virtual semalam.
Persembahan peserta akan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Misha Omar dan Akim Ahmad serta juri undangan pada setiap minggu. Menariknya, Suara Viral turut memperkenalkan Juri Duduk Rumah yang terdiri daripada selebriti tanah air seperti Idayu, Bob Yusof, Sissy Iman, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain dan dua wartawan hiburan berpengalaman, Niezam Abdullah dan Sudyr Tahir.
Format penjurian adalah berdasarkan sistem pecahan pemarkahan 70% oleh barisan juri profesional di studio dan 30% oleh Juri Duduk Rumah. Suara Viral dihoskan oleh pengacara tersohor, Datuk AC Mizal serta Marsha Milan selaku pengacara Backstage. – KopiPlanet.com