
Anugerah Akademi Edisi Ke-93 Tangguh, Berlangsung 25 April 2021
Anugerah yang mengiktiraf pengkarya seni filem, Anugerah Akademi yang ke-93 telah ditunda tarikhnya pada 25 April tahun hadapan.
Anugerah Akademi atau lebih dikenal sebagai Anugerah Oscar edisi ke-93 sebelum itu dijadualkan bakal berlangsung pada 28 Februari tahun depan.
Namun disebabkan pandemik Coronavirus (Covid-19), penganjurnya, The Academy of Motion Picture Arts and Sciences terpaksa menangguhnya sehingga ke April 2021.
Susulan penangguhan itu, pihak Akademi juga telah melanjutkan penghantaran pencalonan filem-filem yang ingin bertanding sehingga 28 Februari 2021.
Kebiasaannya, tarikh tutup untuk mencalonkan sesebuah filem adalah pada 31 Disember setiap tahun.
Februari lalu, filem Korea Selatan, Parasite berjaya menggondol anugerah Filem Terbaik sekali gus mencatat sejarah filem asing pertama dinobatkan menerusi kategori terbesar itu. – KopiPlanet.com