Empat Cawangan BubbleBee Ditutup Sementara Waktu, Tamatkan Kerjasama Rakan Usahasama
Pengeluar produk minuman yang semakin popular, BubbleBee mengambil keputusan menamatkan kerjasama dengan rakan usahasama yang disiasat pihak berkuasa berhubung aktiviti yang telah menjejaskan reputasi syarikat tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee Sdn Bhd, Datuk Ismail Abdul Rahman menyatakan bahawa penamatan kerjasama itu berkuatkuasa serta-merta membabitkan empat cawangan iaitu di Ampang, Senawang, Sungai Buloh dan Sentul.
“Setakat ini Bubblebee sudah mempunyai 17 cawangan di seluruh negara dan dari jumlah itu, 11 cawangan adalah milik penuh Bubblebee manakala enam lagi dibuka secara usahasama.
“Baru-baru ini tular berita mengenai rakan usahasama kami yang disiasat pihak berkuasa. Perkara itu turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah kami dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut Ismail, meskipun setakat ini kedudukan sebenar rakan usahasama ini bersalah atau tidak kerana kes ini masih dalam siasatan, ternyata ia tetap memberi kesan kepada jenama Bubblebee.
“Yang jelas, siasatan terhadap rakan usahasama ini telah mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.
“Maka, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan semua rakan yang menguruskan empat cawangan Bubblebee itu,” katanya.
Ismail turut menjelaskan, empat cawangan berkenaan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee. – KopiPlanet.com