
Dah Lama Peram, Azmi Saat Dedikasi Tulus Buat Isteri Tercinta
Mula mencipta lagu Tulus sejak 2008, penyanyi dan vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat akhirnya berjaya memperkenalkan lagu pertama ciptaannya itu kepada umum.
Dilamar oleh syarikat rakaman Valient Music pada awal tahun ini membuka ruang kepada Azmi untuk memperdengarkan lagu Tulus kepada mereka yang akhirnya bersetuju untuk menerbitkan lagu tersebut.
“Ketika saya ditawarkan kontrak rakaman daripada Valient Music, saya terus terima kerana mereka memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan karya-karya saya di samping peluang untuk bekerjasama dengan produser terkenal, Ezra Kong.
“Perasaan saya sangat teruja kerana ini adalah lagu pertama yang saya cipta sendiri. Lebih mengujakan saya lagi apabila lagu ini mendapat sentuhan daripada produser terkenal Ezra Kong. Lagu ini saya tujukan khas untuk kekasih saya yang juga merupakan isteri saya kini,” katanya.
Melalui Tulus, Azmi juga berharap pendengar supaya sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun tidak mendapat balasan sebagaimana yang diharapkan. Tegas beliau, sifat tulus itu tidak pernah mengharapkan apa faedah dari setiap yang dilakukan.
Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia & Valient Music. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox dan iTunes. – KopiPlanet.com