EventHiburan

Idayu Dinobat Juara Akademi Fantasia Megastar

SHAH ALAM:  Selepas lapan minggu bertarung di pentas Akademi Fantasia Megastar (AF Megastar), Idayu menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai juara program realiti tersebut yang berlangsung di Royale Theatre, Shah Alam sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakub, 32, berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000, trofi sumbangan Astro serta pakej percutian ke Turki.

Dalam konsert final itu, Idayu mendendangkan lagu My All nyanyian asal Mariah Carey dan sebuah lagu baru, Selamanya, ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan.

Hadiah disampaikan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya.  Perancangan selepas ini saya perlu berbincang dengan suami terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan yang mana satu.  Tapi saya akan secepat mungkin keluarkan lagu-lagu baharu selepas ini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media sebaik konsert berakhir.

Menyanyikan lagu ciptaan rakan artis yang sama-sama berjuang menerusi Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Idayu yang sering mendapat jolokan Mariah Carey Malaysia mengatakan Amylea memang menciptakan lagu Selamanya berdasarkan perjalanan seni yang dilalui Idayu sejak 12 tahun lalu.

“Amylea ciptakan lagu ini pada minggu lalu dan lagu Selamanya memang menepati kriteria lagu yang saya inginkan iaitu lagu mesra radio, power house vokal serta lagu yang sesuai untuk pertandingan,” katanya yang kini diuruskan oleh suaminya, Shahrul Fadzil.

Dalam pertandingan akhir itu, Syamel tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya memenangi baucar wang tunai RM3,000 untuk anugerah khas The Ultimate Performer yang diterimanya.

Sementara, Marsha pula membawa pulang trofi Terlajak Megastar D’Herbs dan wang tunai RM10,000 yang mana persembahannya mendapat likes paling banyak di laman Instagram Datuk Alif Syukri sepanjang konsert finale berlangsung.

Selain Idayu, Syamel dan Marsha, dua lagi finalis yang bersaing ialah Shahir dan Bob Yusof.

AF Megastar diadili tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Syafinaz Selamat dan Datuk Awie.

Format pemarkahan rancangan ini ialah 60 peratus daripada juri profesional manakala 40 peratus daripada undian SMS.

Ia dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi dan disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Program AF turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Rancangan Nyanyian Realiti Televisyen Paling Lama Berlangsung.

Untuk rekod, rancangan AF telah bersiaran sejak 14 tahun lalu dengan konsert pertamanya berlangsung pada 3 Jun 2003.

Sijil pengiktirafan telah disampaikan oleh Pengasas Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi kepada Ketua Bahagian Melayu Astro, Raqim Ahmad. -KopiPlanet.com

 

 

 

 

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button