DramaTV

Pengarah Drama Projek: Anchor SPM Nafi Dakwaan Tiru Filem Bad Genius

Salah seorang pengarah drama Projek: Anchor SPM, Anwari Asyraf menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa drama berkenaan meniru filem Thailand iaitu Bad Genius.

Anwari berkata, antara perbezaan terbesar kedua-dua naskhah tersebut adalah dari sudut genre itu sendiri.

“Genre filem Bad Genius lebih kepada thriller dan heist, manakala Projek: Anchor SPM mengetengahkan genre young adult serta ceritanya lebih kepada semangat persahabatan dan mencari erti hidup.

“Secara asasnya kalau genre berbeza, jalan ceritanya pun akan berbeza. Memang betul ada babak dalam dewan peperiksaan, tetapi saya yakin kalau audiens berpeluang menonton drama ini, mereka akan susah untuk menyamakan kedua-dua naskah tersebut,” jelasnya.

Projek: Anchor SPM Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Aizat, kapten pasukan ragbi yang disegani, bersama Hilmi, iaitu Ketua Pelajar dan Ketua Pengawas yang cemerlang, serta rakan mereka yang hanya dikenali sebagai Botol, adalah rakan karib dan sentiasa bersama di kala waktu susah dan senang.

Setelah mencuri keluar beberapa kali daripada kampus sekolah pada waktu malam, Aizat akhirnya ditangkap oleh Pengetua Awang, pengetua STIA yang amat tegas. Pengetua Awang, memberi syarat kepada Aizat supaya tidak dibuang sekolah dan perlu meraih keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM yang sudah hampir.

Justeru, Aizat dengan terdesaknya cuba mencari jalan keluar, dan akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa, dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Sementara itu, seorang lagi pengarah Razaisyam Rashid pula mengakui berdepan cabaran ketika menghasilkan drama berkenaan terutamanya apabila dilakukan ketika pandemik Covid-19.

Ujarnya, antara cabaran berkenaan apabila tidak dibenarkan membuat penggambaran di sekolah serta mahu mendapatkan latar belakang suasana sekolah itu sendiri.

“Memang untuk drama ini semua pihak telah bekerja keras. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan saya tidak sabar untuk persembahkan karya ini kepada penonton,” ujarnya.

Projek: Anchor SPM menampilkan barisan pelakon popular seperti Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Shasha Abedul, Nadhir Nasar, Chubb-E, Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat, Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Drama berkenaan akan bakal menemui penonton mulai 15 Mac, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD) sebanyak lapan episod. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button