Cerita ArtisHiburan

Tampilkan Kemampuan Boleh Menyanyi, Oktovia Manrose Muncul Dengan Lagu Biar Aku Simpan

Setelah lapan tahun bergelar seorang pelakon, kini Oktovia Manrose melangkah setapak lagi dengan membuktikan dia juga mempunyai kemampuan bergelar penyanyi.

Yang terbaru, dia tampil dengan projek lagu Biar Aku Simpan bersama kumpulan Bimasakti yang diterbitkan Life Records dilancar 5 Mac.

“Tidak dinafikan memang saya minat menyanyi sejak dahulu lagi. Saya sedar ada bakat tersebut, namun ia perlu diasah. Dahulu memang ada peluang menyanyi, cuma saya enggan terburu-buru kerana rasa belum cukup bersedia.

“Saya tidak mahu menyanyi macam melepaskan batuk di tangga. Biarlah ada ilmu atau serap pengalaman orang lain, baru saya berani keluar dari zon selesa, jelasnya.

Ujar Oktovia, menerusi projek kolaborasi dengan kumpulan ini dia banyak menimba pengalaman dan belajar teknik tertentu berkenaan muzik.

Jelas kakak kepada Aprena Manrose ini juga, dia pernah beberapa kali merakamkan lagu ‘filler’ untuk drama membabitkan produksi yang dikenalinya.

Dalam pada itu, mengenai pembikinan lagu berkenaan, Oktovia menyatakan salah seorang anggota Bima Sakti iaitu Jim telah membuka peluang tersebut.

“Pada mulanya saya tak sangka dia tawarkan peluang ini. Apatah lagi, Jim sendiri bukan asing kerana sudah menerbitkan lagu untuk ramai artis seperti Khai Bahar, Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham.

“Saya sendiri pun selalu merakamkan lagu demo untuknya. Cuma lamaran untuk membuat penampilan lagu itu, saya sahut dengan optimis. Saya sendiri menyukai bahagian korus lagu itu yang sangat melankolik,” katanya yang menyatakan lagu itu dirakamkan sekitar enam bulan lalu.

Apa yang menariknya, ibu kepada seorang cahaya mata iaitu Muhammad Rayyan Zafariel ini turut menjadi model video muzik karya sama.

“Secara kebetulan saya sendiri sudah faham keseluruhan isi cerita lagu. Jadi saat ditawarkan untuk jadi model video muzik, saya cakap kenapa tidak,” katanya.

Artis di bawah pengurusan Absolut Talent & Management itu juga tidak menolak andai ada rezeki menyanyi solo selepas ini dan terbuka mencabar kemampuan vokalnya.

“Saya anggap kolaborasi dengan kumpulan itu sebagai pemanas enjin. Selepas ini baru yakin sedikit nak menyanyi solo.

“Saya secara peribadi suka genre lagu hip hop, R&B, pop balada. Saya paling minat Ariana Grande, selain Sarah Raisuddin, Jaclyn Victor, Melly Goeslow, Kris Dayanti dan terbaru Sarah Suhairi dan Aina Abdul,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button