DramaTV

Drama Rindu Awak Separuh Nyawa Sarat Dengan Elemen Romantik & Kekeluargaan

Tidak dinafikan, kebanyakan drama yang berkisar tentang percintaan serta kekeluargaan sememangnya menjadi kegemaran penonton.

Yang terbaharu, Astro Ria bakal tampil dengan drama bersiri berjudul Rindu Awak Separuh Nyawa, sebuah karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Siti Rosmizah yang mengangkat genre romantik terbitan syarikat produksi SR One Sdn Bhd. 

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata, kejayaan penerbitan drama-drama sebelum ini adalah penanda aras dan terbukti genre cinta dan romantik sentiasa menjadi pilihan audiens tempatan dari dulu hingga sekarang.

“Kami berbesar hati membawakan sebuah lagi drama adaptasi novel menarik berjudul Rindu Awak Separuh Nyawa. Istimewanya, drama ini juga merupakan antara pengisian utama sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang telah disusun khas untuk menghiburkan pelanggan setia Astro.

“Naskhah yang sarat dengan elemen keluarga, drama dan romantik ini cukup menarik kerana ia bakal menampilkan jalan cerita berbeza yang mampu mengusik jiwa dan emosi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menampilkan sebanyak 40 episod drama arahan sutradara handalan Along Kamaludin ini turut menampilkan Siti Rosmizah selaku penerbit dan penulis skrip serta barisan penulis skrip yang terdiri dari Rozie Rashid dan Amka Ahmad. 

Sementara itu, mengenai pelakon pula Emarina menjelaskan pemilihan Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose sebagai teraju utama adalah memandangkan kedua-duanya merupakan nama besar dalam industri lakonan tanah air yang sering menjadi pilihan pembikin seni untuk menggalas watak-watak utama dalam pelbagai genre.

“Selain mereka berdua, kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil juga turut memainkan peranan yang cukup bermakna melalui pembawaan watak yang cukup berkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti Rosmizah yang turut bertindak sebagai penerbit menyatakan dia sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi untuk setiap drama terbitan produksi SR One Sdn Bhd terutama yang melibatkan karya nukilannya sendiri.

“Saya amat berbesar hati dengan penerimaan positif para peminat fanatik novel Melayu yang sentiasa menyokong hasil kerja saya selama ini sehingga berjaya merekodkan jumlah jualan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Untuk drama adaptasi terbaharu ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ini, saya sudahpun meletakkan sasaran yang lebih tinggi daripada drama-drama saya sebelum ini,” jelasnya.

Ujarnya, drama berkenaan juga bakal memberi kelainan kerana jalan ceritanya yang menarik untuk ditonton.

“Ia tidak sekadar mengangkat watak utama iaitu hero dan heroin semata-mata tetapi juga turut memfokuskan kepada watak-watak lain yang sebenarnya mencerminkan kehidupan masyarakat yang berlaku di sekeliling kita,”ujarnya.

Lebih istimewa, drama ini turut menampilkan lagu istimewa bertajuk Rindu Separuh Nyawa nyanyian Vanessa Reynauld dan Naqiu sebagai lagu runut bunyi yang liriknya juga ditulis oleh Siti Rosmizah.

Drama Rindu Awak Separuh Nyawa bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10.00 malam mulai 23 Mac ini menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
2
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button