Cerita ArtisHiburan

Che Ta Terkilan Nama Digugurkan Pengarah Gara-Gara Tidak Yakin Dirinya Boleh Tampil ‘Buruk’

Pelakon popular Rozita Che Wan atau Che Ta meluahkan rasa terkilannya dengan tindakan seorang pengarah yang mahu sebuah produksi menggugurkan namanya untuk sebuah projek.

Che Ta berkata, pengarah berkenaan berbuat demikian apabila tidak yakin dirinya boleh tampil ‘buruk’ untuk menjayakan sebuah watak.

“Pada tahun 2011 saya pernah berlakon dalam telefilem Dosa Siapa dan memegang watak Halimah dan ketika itu saya tidak kisah untuk tidak bersolek dan membawa watak pengemis. Menerusi watak itu saya tercalon dalam Top 5 Pelakon Drama TV Wanita di Anugerah Skrin.

“Selain itu, saya juga pernah berlakon dalam sebuah telefilem arahan Fauzi Nawawi dan watak saya itu dilacurkan oleh suami sehingga menghidap AIDS. Manakala yang terbaharu ini saya disolek buruk dan menjadi tua dalam telefilem My Future Husband,” jelasnya.

Ujar Che Ta, ia telah membuktikan bahawa dirinya tidaklah terlalu bersandarkan kepada keinginan untuk hanya tampil cantik sahaja di kaca televisyen.

Menurut pelakon yang kini sudah berusia 48 tahun itu, dia juga menafikan hanya menerima watak yang memerlukan dirinya tampil cantik.

“Sejak mencari rezeki dalam dunia lakonan ini, saya sentiasa berfikir di luar kotak dan sanggup mencabar diri dengan apa saja watak yang ditawarkan. Siapa kata saya nak berlakon jadi cantik sahaja?” katanya.

Mengenai isu tindakan pengarah yang mahu menggugurkan namanya itu, Che Ta menegaskan dia enggan ambil kisah perkara tersebut.

Jelasnya, dia secara jujurnya agak terkejut apabila diberitahu seorang pengarah tak mahu dia berlakon di bawah arahannya.

“Apa yang saya boleh katakan mungkin selama ini dia hanya nampak saya di Instagram sahaja.

“Tak apalah, saya pun cuma berserah dalam soal rezeki. Kalau ada… adalah,” katanya.

Ujarnya, dia hanya perlu kerap tampil cantik bagi memenuhi keperluan kerja dan tanggung jawabnya mempromosikan sesebuah produk.

Sementara itu, mengenai perkembangan karier lakonannta, Che Ta dijangka ke Perlis hujung bulan ini untuk penggambaran sebuah drama.

Malah, jika tiada aral melintang dia juga akur untuk menjalani ibadah puasa di sana demi melunaskan komitmen diamanahkan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
1
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button