EventHiburan

Astro Saji Lebih 100 Program Sempena Ramadan Dengan Tema ‘Buka Lembaran Baharu’

Kehadiran bulan mulia penuh keampunan, Ramadan Al Mubarak semestinya dinantikan umat Islam di seluruh dunia.

Sebagai sebuah stesen penyiaran utama negara, Astro turut tidak terkecuali mengalu-alukan kedatangan bulan penuh keberkatan ini dengan menampilkan pelbagai pengisian menarik merentasi kesemua platform utamanya seperti televisyen, radio dan digital.

Istimewanya, tahun ini merupakan sambutan ulang tahun ke-25 Astro, pelbagai program yang menawarkan ganjaran khas buat pelanggan turut dianjurkan.

Demi mengindahkan lagi kempen Ramadan Raya Tahun 2021 ini, Astro sekali lagi tampil dengan sebuah tema utama dengan mendukung mesej yang kuat di sebaliknya bagi melatari kempen Ramadan Raya.

Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, tema ‘Buka Lembaran Baharu’ dipilih bertujuan untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia khususnya mereka yang menyambut bulan puasa agar dapat membina kembali semangat akibat kesan yang dicetuskan dari pandemik ini.

“Dalam pada negara dan seluruh dunia sama-sama giat berganding bahu membendung penularan wabak COVID-19, Astro tetap terus dengan usaha mengambil langkah proaktif dalam menyediakan sajian kandungan terhebat, segar lagi menarik untuk tatapan penonton di sepanjang bulan Ramadan Al Mubarak ini.

“Kami terus komited dalam memastikan setiap pelanggan mempunyai program pilihan yang mampu menepati citarasa masing-masing. Tambahan pula, tahun ini menandakan peristiwa penting buat kami semua, ‘Team Astro’, kerana ia merupakan sambutan ulangtahun kami yang ke-25,” jelasnya.

Beliau berkata, istimewa di bulan Ramadan ini, Astro bakal menampilkan lebih dari 100 sajian kandungan terbaharu dan segar.

Jelasnya, ia merangkumi genre keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, sketsa, animasi, komedi serta rancangan khas seperti variasi serta bual bicara, khas buat pelanggan setia Astro.

“Menariknya lagi, tidak hanya sekadar memberi tumpuan akan segmen kandungan sahaja, pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan ganjaran istimewa buat pelanggan atau ‘customer rewards’ akan turut dilaksanakan,” ujarnya.

Sama seperti tahun sebelumnya, Astro sekali lagi menampilkan nama-nama selebriti popular tanah air sebagai sebahagian dari kolaborasi utama kempen tahun ini.

Dikenali sebagai ‘Skuad Lembaran Baharu’, barisan duta yang terpililh ini adalah terdiri daripada gabungan pelakon, penyanyi, hos dan figura yang memiliki bakat yang pelbagai seperti Alif Satar dan Elly Mazlein.

Selain itu, turut menjadi duta adalah usahawan cilik yang kini turut terlibat dengan pentas komedi, Cik B, barisan penyampai radio Astro, Radin (ERA), Dina Nadzir (Sinar), Shah (Gegar), pengacara dan panerait Gempak TV, Isha Norsham, serta pasangan karekter animasi Islamik popular, Omar & Hana.

Dalam pada itu, warna warni kempen Ramadan 2021 Astro diserikan juga dengan dua buah lagu istimewa, khas untuk diperdengarkan sepanjang bulan puasa ini.

Lagu pertama merupakan ciptaan dan digubah sendiri oleh penyanyinya, Hael Husaini berjudul Nuraga yang bermaksud bertimbang rasa atau belas kasihan.

Lagu kedua pula dipersembahkan oleh kumpulan yang kian meningkat naik, MADAM berjudul Kekasihku. Lagu penuh inspirasi ini ditulis oleh Jerry dan digubah oleh Ziin.

Kedua-dua Hael Husaini dan MADAM merupakan artis naungan Rocketfuel Entertainment, syarikat media dan hiburan, label rakaman dan pengurusan bakat yang dimiliki Astro.

‘Nuraga’ dan ‘Kekasihku’ boleh didapati di platform JOOX, Spotify, Apple Music, iTunes dan Deezer bermula 1 April 2021. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button