
Akui Paranoid, Kaka Nekad Belajar Muay Thai
Penyanyi Kaka Azraff mengakui sudah jatuh hati dengan sukan Muay Thai selepas menjayakan beberapa aksi lasak dalam muzik video single terbaharunya yang berjudul Kembali.
Menerusi muzik video yang diarahkan Kerol Mohd. Noor itu, Kaka telah berpeluang mempelajari beberapa teknik asas Muay Thai dan bertitik tolak dari situ dia nekad untuk mendaftar masuk kelas sukan mempertahankan diri itu dalam masa terdekat ini.
“Saya cabar diri untuk buat muzik video lain daripada yang lain. Sepanjang dua hari penggambaran saya ada tercedera sedikit di kedua-dua belah lutut. Namun, selepas belajar Muay Thai untuk muzik video ini, saya dah jatuh hati dan akan daftar masuk kelas lepas ini.
“Saya rasa semua wanita harus mengambil kelas mempertahankan diri bagi meningkatkan keyakinan serta untuk tujuan keselamatan diri. Pada masa sama saya nak teruskan belajar sebab saya seorang yang agak paranoid. Dengan macam-macam kes jenayah sekarang, saya memang galakkan semua wanita di luar sana untuk belajar seni mempertahankan diri,” katanya.
Kaka ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran muzik video dan single terbaharunya, Kembali di The Gasket Alley, Petaling Jaya baru-baru ini.
Yang menariknya, muzik video Kembali menggunakan khidmat pelakon kesukaan Kaka iaitu Bront Palarae yang merupakan pilihan daripada penyanyi itu sendiri.
Ujarnya, selepas impiannya untuk bergandingan dengan Bront tercapai, Kaka turut menyatakan hasratnya yang mahu menyanyikan lagu ciptaan komposer baharu, Ismail Izzani.
Menurut Kaka lagi, dia dapat melihat potensi dalam diri Ismail untuk terus menyinar dalam industri nyanyian tanah air.
“Saya nak sangat berduet atau menyanyikan lagu ciptaan Ismail. Saya tengok dia boleh pergi jauh dalam industri sebab dia ada idea-idea yang segar, selain dia ada citarasa muzik yang bagus,” katanya yang turut menyatakan ingin bekerjasama lagi dengan Malique dan Omar K selepas ini.
Kembali merupakan ciptaan sepenuhnya oleh The Good Fellas dan muzik video lagu ini sudah boleh ditonton di laman Youtube selepas dimuat naik. – KopiPlanet.com