Cerita ArtisHiburan

Ryan Deedat, Killa Driz & Heil Nuan Tampilkan Gandingan Mantap Menerusi Lagu Kene Sidai

Perkenalan mereka bermula di platform Instagram kira-kira setahun lalu, namun kini tiga penyanyi muda iaitu Ryan Deedat, Heil Nuan dan Killa Driz akhirnya muncul dengan lagu Kene Sidai.

Menariknya tentang lagu ini, ia menggunakan tajuk Kene Sidai iaitu slanga yang sering digunakan anak muda yang menunggu terlalu lama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

Ryan Deedat berkata, perkataan Kene Sidai sememangnya amat sinonim dengan pengikut Instagram miliknya memandangkan frasa berkenaan sering dijadikan topik utama.

“Saya aktif berinteraksi bersama penghikut saya setiap malam menerusi IG Live sejak empat bulan yang lalu. Bermula dari gurauan ‘Ryan Sidai’ dan menggelar pengikut saya sebagai ‘geng sidai’ maka terhasil program bual bicara bersama tetamu undangan dalam ‘SIDAI TALK’ dan mengumpul peminat saya melalui akaun @gengsidaiofficial di platform yang sama.

“Banyak yang kami bincangkan dan respons yang diterima begitu baik. Jadi, setelah terhasilnya lagu Kene Sidai, saya gembira dengan maklum balas yang terima. Mungkin juga sebab tema yang diketengahkan dekat dengan semua,” katanya.

Kene Sidai merupakan hasil ciptaan Adam Armin, Yusuff Khan dan Heil Nuan. Manakala lirik pula ditulis oleh Heil Nuan, Ryan Deedat, Killa Driz dan Adam Armin.

Bagi Heil Nuan pula, dia meluahkan rasa gembira apabila dapat bekerjasama dengan rakan-rakan yang memang sudah lama aktif dalam bidang penciptaan lagu. 

Jelasnya, ia merupakan satu peluang yang terbaik buat dirinya untuk menyumbangkan sesuatu dalam karya ini.

“Sudah tentu saya gembira apabila Ryan sendiri nampak bakat yang ada dalam diri saya dan sudi berkoloberasi menghasilkan karya. 

“Untuk orang baharu seperti saya ini, pastinya peluang sebegini amat saya hargai,” katanya ringkas.

Heil Nuan bintang termuda yang baru berusia 19 tahun yang kini sedang menuntut dalam jurusan Audio Engineering. Kebanyakan lagu-lagu ciptaannya diletakkan di dalam YouTube sahaja.

Bakatnya dikesan oleh Ryan Deedat dan lantas menghubunginya untuk bertemu dan bekerjasama dan kini dia tampil sebagai penyanyi dalam lagu ini.

Sementara itu, penglibatan Killa Driz juga ternyata memberi impak yang tersendiri dalam lagu. 

Killa Driz yang baru sahaja melancarkan lagu Siapa Tahu turut memberikan idea dan patah perkataan yang sesuai untuk dijadikan lirik yang sedap didengari.

Kolaborasi bersama Ryan Deedat bagaikan perjumpaan semula kerana mereka sudah bersahabat sejak 15 tahun yang lalu dan saling mengikuti perkembangan karier muzik di antara satu sama lain.

“Isi utamanya dekat dengan semua yang berkisarkan tentang masa. Saya harap lagu ini akan diterima baik dan disukai oleh mereka,” kata Killa Driz pula.

Kene Sidai sudah mula dilancarkan secara rasmi pada 2 April lalu di semua platform digital. Muzik video pula boleh ditonton melalui Youtube INDIGITAL MUSIC. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button