Cerita ArtisHiburan

Akui Sudah Rakam Sebuah Lagu, Impian Che Ta Untuk Ceburi Bidang Nyanyian Jadi Kenyataan?

Sebelum ini, pernah bertebaran mengenai kisah pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta yang dikatakan mempunyai impian untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Apa yang menariknya, penyanyi seperti Hazami, Imran Ajmain dan komposer Eddie Hamid antara yang dikhabarkan mahu merealisasikan impian pelakon.

Bagaimanapun, kisah berkenaan berlalu sepi kerana selepas dipertimbangkan, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak mahu mengambil risiko kerana selesa mengukur baju di badan sendiri.

Namun begitu, secara tiba-tiba kini Che Ta mengakui sudah muncul dengan sebuah lagu ‘jingle’ untuk sebuah produk kecantikan diwakilinya iaitu Mylea.

“Saya harap peminat janganlah salah sangka. Bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyi sedia ada memandangkan ia bukanlah sebuah lagu komersial.

“Sebenarnya lagu ciptaan DJ Fuzz itu hanya untuk promosi produk berkenaan dan berdurasi 30 saat. Ia berentak santai dan kedengaran seperti dangdut serta sudah dimainkan di radio,” katanya.

Sudah merakamkan lagu itu lebih kurant sejam pada 14 April lalu, isteri kepada Zain Saidin itu berkata, dia pada mulanya kurang yakin dan tidak sanggup menyanyi.

Jelasnya, dia sendiri tidak merasakan mempunyai vokal yang baik seperti penyanyi lain, namun dia cuba mencabar diri setelah mendapat dorongan pengasas produk berkenaan.

“Saya tak anggap ia satu projek serius. Jauh sekali nak berentap di Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji kata saya bukan tak boleh menyanyi, saya tak rasa boleh serius menyanyi pun.

“Lagipun saya beranggapan mesti yang puji saya boleh menyanyi itu sekadar nak ambil hati. Dalam erti kata lain, bohong ‘sunat’,” selorohnya.

Sudah terbiasa dengan kecaman selama ini, ibu kepada Aaisyah Dhia Rana itu tak mahu memikirkan apa kata orang apabila menjayakan projek nyanyian itu.

“Saya sudah biasa dengan segala yang negatif. Tapi itu tak pernah jadi kudis,” katanya yang baru baru ini dilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.

Dalam perkembangan lain, Che Ta juga teruja untuk membintangi Kiah Pekasam versi filem terbitan Zeel Production.

“Sudah 11 tahun usia naskhah Kiah Pekasam yang melonjakkan nama saya. Daripada tiga musim drama ke beberapa siri telefilem, ia akhirnya direalisasikan ke bentuk filem pula.

“Insya-Allah 8 Mei ini saya akan ke Perlis untuk memulakan penggambaran. Memang produksi nak kejar momen musim mangga harum manis di sana,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button