Cerita ArtisHiburan

Setelah Sembilan Tahun, Siti Sarah & Shuib Kini ‘Bersatu’ Semula Menerusi Lagu Duet Semakin Benci Semakin Cinta

Bakal melahirkan cahaya mata keempat tidak lama lagi, Siti Sarah Raissuddin kini muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Semakin Benci Semakin Cinta (SBSC).

Istimewanya, lagu yang dicipta oleh komposer terkenal Ajai merupakan lagu duet bersama bersama suami tercinta iaitu Shuib dan ia menjadi single kedua pasangan ini setelah pernah muncul dengan lagu Cinta Itu Nyawa yang pernah dikeluarkan pada tahun 2012.

Sarah berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, dia melihat ini adalah waktu yang sesuai untuk mereka berkongsi karya baharu kepada semua.

“Lagu ini sudah dirakamkan sejak setahun lalu, lebih tepat ketika negara kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) yang pertama dahulu. Idea lagu ini hadir daripada Ajai sendiri apabila dia yang ingin melihat kami berduet. Malah, lagu ini memang diciptakan khas buat saya dan Shuib.

“Ikutkan selepas siap dirakam memang tiada tarikh untuk lagu ini dilancarkan. Jadi, dalam keadaan saya menunggu hari untuk melahirkan anak keempat dan Shuib juga tidak terlalu lalu sibuk dengan urusan perniagaan, ini adalah waktu yang sesuai untuk lagu diperdengarkan kepada peminat,” katanya.

Walaupun tajuk lagu menggambarkan kisah cinta, namun ini bukanlah babak kehidupan yang dilalui pasangan ini. Mengambil kesempatan melalui keadaan semasa, dia yakin dalam keadaan ramai yang berjauhan kini, lagu SBSC cukup sesuai didengar pada masa ini.

“Situasi lagu ini menggambarkan bagaimana dua insan yang saling menyayangi terpaksa berjauhan atas sebab tertentu dan dalam tempoh tersebut wujud pelbagai kejadian yang menduga rasa cinta mereka. Bagaimana ukuran cinta bukanlah berdasarkan jarak tetapi perasaan itu sendiri.

“Dengan keadaan negara kita yang berhadapan dengan pandemik ini, pasti ramai yang melalui situasi yang sama. Bukan sekadar tidak dapat bertemu orang tersayang, malah ada yang tidak dapat pulang ke kampung berbulan lamanya untuk bertemu orang tersayang. Jadi lagu ini saya anggap cukup kena dengan situasi sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, Shuib memberitahu pelawaan Ajai untuk berduet bersama Siti Sarah tidak dipandang sepi dan melihat ia sebagai hadiah untuk isterinya yang sarat mengandung anak keempat.

“Kalau mahu kata puas hati, saya memang puas hati dengan penyampaian saya dalam lagu ini. Cuma kita tidak boleh harap perkara yang sama daripada semua pendengar.

“Bukan apa selepas sembilan tahun lagu terakhir saya dengan isteri, harus diakui memang agak mencabar. Apapun saya bersyukur dengan pelancaran lagu ini. Selain berharap lagu SBSC dapat diterima dengan baik peminat,” katanya.

Tambahnya lagi, Ajai tahu tentang kemampuan vokalnya dan apa yang diciptakan figura berkenaan ‘kena’ dengan mereka berdua dan akhirnya membuatkan dia selesa sepanjang proses rakaman berlangsung.

Untuk rekod, lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Indigital Music.

Lagu ini sudah boleh distrim di semua platform digital dan lirik video boleh ditonton mulai 9 malam pada 22 Jun ini.

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button