Cerita ArtisHiburan

Ramlah Ram Muncul Dengan Single Aku Ubatinya Lagi, Kali Pertama Dapat Sentuhan Komposer Ajai

Nama komposer Ajai bukanlah satu nama yang perlu diperkenalkan lagi, apatah lagi komposer tersohor tu memiliki hampir seribu lagu ciptaan beliau dan lebih 100 daripadanya menjadi hits dan dinyanyikan oleh ramai artis-artis popular.

Begitu juga Ramlah Ram, penyanyi senior yang dikategorikan sebagai ‘legend’ ini yang pernah memiliki rekod penjualan album terbanyak (500 ribu unit yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records menerusi album ‘Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu’).

Selain itu, Ramlah juga pernah muncul pemenang Anugerah Juara Lagu 1988 dan Penyanyi Wanita Popular edisi 1988 & 1989 ABPBH ini juga pernah merangkul gelaran ‘Golden Voice’ di ASEAN Golden Vocalist Festival yang berlangsung di Vietnam pada tahun 1996.

Jadi, bila dua nama besar ini bergabung dan bekerjasama untuk menghasilkan sebuah naskah terbaru, sudah tentu ianya amat dinantikan oleh para peminat muzik tanahair.

Walaupun mengenali Ajai yang ketika itu masih bersama kumpulan Exists ketika bernaung di bawah syarikat rakaman BMG Music, sehinggalah pada masa Ajai sudah dikenali sebagai komposer, Ramlah tidak pernah berkesempatan untuk merakamkan lagu ciptaan Ajai untuk dimuatkan dalam album-album beliau sebelum ini.

Akhirnya di tahun 2020 telah menyaksikan bagaimana bermulanya projek khas Ajai bersama Inisiatif Seni Kreatif untuk menerbitkan sebuah single terbaru yang berkonsepkan pop balada untuk Ramlah berjudul Aku Ubatinya Lagi.

Lagu ini merupakan ciptaan penuh Ajai dan telah dirakamkan di Studio Wake The Baby Records sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, iaitu pada awal Mac 2020 yang lalu.

Malah lagu ini juga telah disempurnakan susunan muziknya oleh komposer Sharon Paul yang pernah menghasilkan antara lagu popular seperti ‘Gundah’ nyanyian Ernie Zakri, ‘Terlalu Memuja’ nyanyian Wany Hasrita dan ‘Sampai Bila’ nyanyian Misha Omar.

Manakala, proses mastering nya pula dilakukan di Bechmark Studio, Australia oleh Don Bartley, seorang jurutera bunyi yang banyak terlibat dalam pembikinan album artis-artis antarabangsa antaranya untuk album kumpulan ABBA dan Scorpion.

Menyentuh mengenai pengalaman pertama kali bekerjasama dengan Ajai, Ramlah memberitahu komposer berkenaan sangat teliti ketika menghasilkan lagu ini.

“Dia buat dengan bersungguh- sungguh, tidak hanya sekadar ‘asal siap saja’ dan saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja beliau yang dibuat kali pertama untuk saya ini.

“Saya juga bersyukur segalanya dipermudahkan dan akhirnya lagu ini dapat disiapkan sepenuhnya, cuma dengan pelaksanaan PKP yang masih berlangsung hingga sekarang, sedikit sebanyak membataskan persiapan kami untuk memperdengarkan lagu lebih awal ini kepada peminat.

“Memandangkan saya juga tampil dengan lagu ‘Masar Cinta’ pada penghujung tahun 2019 dan juga lagu raya terbaru berjudul ‘Kemenangan’ pada April lalu, sebagai strategi pemasaran, kami membuat keputusan untuk melancarkan lagu ‘Aku Ubatinya Lagi’ pada bulan Jun tahun ini.” ujarnya.

Ramlah juga memberitahu yang beliau masih bernaung di bawah syarikat RRG Entertainment yang akan menguruskan semua jadual dan rangka promosi single terbarunya ini.

“Saya masih bersama RRG Entertainment dan lagu ini sebenarnya adalah satu projek khas saya bersama Ajai, Universal Music dan Inisiatif Seni Kreatif. InsyaAllah, selepas ini akan ada single saya yang lain pula bersama RRG.” katanya.

Untuk tujuan itu, muzik video rasmi lagu ‘Aku Ubatinya Lagi’ sudah dilancarkan pada 25 Jun ini jam 5.00 petang di channel Youtube Universal Music Malaysia yang bertindak selaku pengedar dan pemegang hakcipta lagu ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
3
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button