Cerita ArtisHiburan

Single Pertama Dapat Sambutan, Ramayan Kini Pertaruhkan Puas Untuk Single Terbaharu

Selepas single pertama Lamunan Anak Bulan yang dilancarkan pada 1 Mei 2020, diikuti oleh pelancaran album Di Persiaran Cakrawala pada 22 Januari tahun lalu, Ramayan kini mempertaruhkan single kedua iaitu Puas yang dipetik daripada album berkenaan.

Album terbitan Luncai Emas ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, memandangkan para peminat telah menunggu lebih 4 tahun untuk karya terbaru Ramayan.

Lebih-lebih lagi apabila berita tentang kolaborasi mereka bersama pengasas kugiran Sore dan pemuzik tersohor Indonesia, Mondo Gascaro, tersebar dan antisipasi untuk album ini pun makin meningkat.

Single pertama, Lamunan Anak Bulan, pula menjadi kegemaran para peminat, dan juga menjadi muqadimah kepada pembaharuan muzik mereka; iaitu bunyi psychedelia yang berbeza daripada EP mereka namun tetap mengekalkan jiwa yang sama.

Namun, setelah itu semua gembar-gembur pelancaran album ini terhambat apabila PKP diumumkan di seluruh negara lalu menunda pelancarannya hampir setahun.

Lagu ini merupakan satu-satunya lagu yang ditulis oleh bekas ahli Ramayan iaitu Naz (pemain keyboard) dan Amin (gitaris) yang asalnya ditulis untuk projek sampingan mereka.

“Kali pertama saya mendengar lagu ini dimain-mainkan oleh Naz di atas piano, saya terus tertarik dengan pilihan kordnya. Saya berjaya mendapatkan susunan kordnya daripada mereka dan apabila saya cuba meletakkan melodi nyanyian di atasnya, ia datang dengan begitu sahaja.

“Seolah-olah saya telah diberi ilham. Bukan sahaja melodi malah liriknya juga. Proses yang selalunya mengambil masa sehari untuk disiapkan selesai dalam masa beberapa jam sahaja.” kata Pi’e, vokalis dan gitaris kedua Ramayan.

Ujarnya, sewaktu dia menulis lagu berkenaan, dia sedang berada dalam situasi yang amat gelap dalam hidupnya.

“Dahulu saya percaya bahawa di mana sahaja ada cinta di situ ada Tuhan. Dan kepercayaan itu dirasai paling kuat apabila saya terjatuh cinta dengan seorang gadis. Malangnya, gadis itu telah dipunyai orang lain; sahabat akrab saya.

“Namun saya tetap berkeras dengan cinta itu, sehinggalah menyebabkan mereka berdua putus cinta. Saya pun merasa sangat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak mempunyai batas, maka tertulislah lagu ini; sebuah lagu penyesalan.” ceritanya.

Puas merupakan satu percubaan oleh Ramayan untuk memberi nafas baru kepada muzik rock Malaysia, terutamanya genre ‘rock jiwang’ yang sedang bertakhta di kalangan pendengar-pendengar massa.

Ramayan berpendapat bahawa bunyi rock yang sedang dibawa oleh kebanyakan artis hari ini kurang kualiti dan nilai kepuasannya dari segi kreativiti dan mesej yang disampaikan dalam lirik-liriknya.

Kata Que, pemain drum mereka, pula “Kebanyakan penulis sekarang hanya mengambil berat tentang apa yang catchy dan easy-listening, menulis lirik yang tidak memerlukan daya pemikiran dan falsafah; yang tidak bermakna.

Kami pun tulis tentang cinta juga, tapi cara kami tulis tentang cinta itu berbeza. Kami cuba melihat daripada sudut yang berbeza dan lebih mendalam. Dan ini yang membuat lagu Puas unik pada pendapat saya.”

Puas telah dirilis secara digital di bawah Luncai Emas pada bulan April yang lepas di semua platform streaming termasuk Spotify, JOOX, iTunes dan Deezer dan sebagai audio rasmi di YouTube.

Pelancaran lagu tersebut diikuti dengan sebuah video persembahan live terbitan Luncai Emas dan Bsync Production yang telah dirakam di Bsync Studios pada bulan Disember 2020 dan dilancarkan di YouTube. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button