DramaTV

Lockdown Tampilkan Lapan Kisah Tentang Kehidupan Norma Baharu Masyarakat Ketika Harungi PKP

Ketika ini, sudah hampir dua tahun rakyat di negara ini melalui kehidupan norma baharu, termasuk mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lantaran pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Ternyata keadaan ini juga telah menimbulkan idea buat syarikat produksi U2 Media Sdn. Bhd. dengan menerbitkan drama bersiri Lockdown yang berkisarkan tentang pelbagai ragam dan kisah suka duka rakyat Malaysia untuk meneruskan kehidupan harian sepanjang perlaksanaan (PKP).

Menariknya, sebanyak lapan buah cerita berbeza dipersembahkan menerusi paparan 10 buah episod yang diinspirasikan daripada latar sebenar kisah realiti berkenaan situasi sukar yang perlu diharungi oleh segenap masyarakat sejak diuji dengan penularan pandemik Covid-19.

Erma Fatima selaku penulis skrip dan cerita asal berkata, dia mendapat ilham setelah melihat sendiri keadaan sekeliling yang berlaku dan ada antaranya yang diinspirasikan daripada kisah benar.

“Sebagai penulis skrip untuk drama ini, saya mendapat ilham selepas melihat keadaan sekeliling yang berlaku, melihat kesannya kepada kawan-kawan dan mungkin kita sendiri turut melaluinya.

“Kita semua sama-sama melalui proses PKP. Jadi kita tahu dan faham kesakitan tersebut selepas mengikuti berita-berita yang dilaporkan. Itu yang mendorong saya untuk menulis skrip drama ini,” jelasnya.

Erma berkata, apa yang lebih istimewa apabila drama arahan Mohd Fazli Yahya ini menampilkan lakonan mantap penuh emosi oleh 23 barisan pelakon handalan.

Ujarnya, antara nama-nama besar yang menjayakan naskhah ini termasuklah Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat, Jalil Hamid, Azizah Mahzan, Liza Abdullah, Balkisyh Semundur Khan serta ramai lagi.

“Saya amat berbesar hati dan gembira dengan komitmen penuh yang diberikan oleh setiap barisan pelakon untuk menjayakan naskhah Lockdown.

“Menghimpunkan kesemua nama-nama popular ini dalam sebuah drama bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi di kala pandemik namun pengalaman tersebut amat menyeronokkan buat saya. Keserasian yang terjalin di antara mereka sebagai pelakon juga memudahkan urusan pasukan produksi sewaktu di set penggambaran,” ujarnya.

Drama Lockdown akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 11.00 malam mulai 26 Julai 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button