Daiyan Trisha Tampil Dengan Penat, Paparan Kisah Mengenai Patah Hati Akibat Perpisahan
Gadis berbakat besar dan mempunyai tarikan yang tersendiri, siapa yang tidak kenal dengan Daiyan Trisha. Memulakan karier pada tahun 2014 menunjukkan yang Daiyan Trisha bukanlah pendatang baru dalam industri seni Malaysia.
Malahan Daiyan mengorak langkah dengan melibatkan diri dalam penulisan lirik, lakonan dan bidang pemodelan. Antara filem dan telemovie yang dibintangi oleh Daiyan adalah Dee, My Coffee Prince, Buskers dan terbaru Project: Anchor SPM.
Kini, Daiyan Trisha atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin yang mempunyai 1.5 juta pengikut di Instagram hadir dengan lagu terbarunya yang berjudul Penat.
Dengan menggunakan bakat sebagai penulis lirik, ternyata Penat merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Daiyan sendiri manakala bunyi untuk lagu ini dihasilkan oleh Kuizz.
Daiyan berkata, lagu berkenaan mengisahkan tentang patah hati, di mana bait-bait lirik di dalam Penat menceritakan tentang banyak situasi yang boleh menghancurkan hari seseorang antaranya perpisahan yang memedihkan, penantian yang tiada penghujungnya, pemergian orang yang disayangi dan sebagainya.
“Bila kita melalui momen patah hati, segala isi dunia perlahan-lahan terhenti. Kita jadi kaku seperti segalanya tidak lagi memegang apa-apa maksud sekalipun.
“Kita seperti berada dalam keadaan yang kekal penat selamanya, dengan keperitan yang tiada noktah,” jelasnya mengenai lagu berkenaan.
Menurut Daiyan, tajuk Penat dipilih untuk single terbaharunya itu memandangkan lagu berkenaan melambangkan beratnya perkataan tersebut.
“Seolah kita akan menjadi amat penat kerana memendam pelbagai perasaan. Ia juga bermaksud apabila kita dihadapkan dengan emosi yang terlampau dalam dan berat, kita hanya mampu bersendiri dan menangis sambil berbisik ‘aku penat’,” jelasnya.
Sementara itu, lirik video Penat arahan Jasmine Wong ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Penggambaran yang dilakukan di sebuah bilik ini mengisahkan tentang seorang gadis yang sangat penat mengharungi kisah cintanya yang luluh dan pada masa yang sama terpaksa menghadap liku-liku hidupnya dengan keadaan semasa, namun tetap menanti kekasihnya untuk kembali.
Lagu Penat sudah boleh didapati di kesemua pelantar penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, dan Deezer bermula 20 Ogos lalu, manakala video lirik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia bermula pada tarikh yang sama. – KopiPlanet.com