Cerita ArtisHiburan

Kimal Margasatwa & monoloQue Rakam Semula Lagu Lagenda Menerusi Versi Irama Gamelan Melayu

Legenda, seperti tajuknya, merupakan sebuah lagu malar segar nyanyian Datuk Sheila Majid yang dicipta oleh Fauzi Marzuki, Jenny Chin, dan Habsah Hassan. Lagu ini pada asalnya merupakan lagu penghargaan kepada lagenda permata seni yang tiada galang gantinya iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. 

Bagi meneruskan lagi legasi Legenda di abad ke 21 kini, lagu keramat ini telah dipilih untuk dipercambahkan dengan irama Gamelan Melayu di dalam sebuah album Gamelan Melayu berkembar yang bertajuk Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21).

Ternyata dengan paduan bunyian  kumpulan monoloQue bersama Orkes Gamelan Pahang DiRaja diadun bersama vokal Kimal daripada kumpulan Margasatwa, lagu tersebut secara tidak langsung telah mencipta warna dan keunikkannya yang tersendiri.

Loque berkata, sungguhpun Legenda telah digubah 180 darjah olehnya dengan unsur muzik baharu, namun saripati jiwa lagu tersebut, yakni irama asal masih dikekalkan.

“Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Datuk Sheila Majid. Lagu Legenda versi asal semestinya tiada tandingannya. Saya cuma menyuntik unsur-unsur terkini dan mengubah mengikut citarasa kami seolah-olah lagu ini adalah lagu kami sendiri.

“Diharap versi kami ini akan menjadi petunjuk arah kepada versi asal, di samping menjadi rujukan masa hadapan terhadap evolusi bunyian Gamelan Melayu,” katanya.

Jelasnya lagi, lagu berkenaan juga adalah belasungkawa tahap tertinggi kepada para legenda, baik yang dikenang dan yang tidak didendang sepanjang zaman. 

Sementara itu, Loque memberitahu bahawah individu yang memberikan alunan baru kepada Legenda untuk dimuatkan di dalam album berkembar Gamelan Melayu adalah menerusi buah fikiran Datuk Farid Abdul Jalal yang juga Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, merangkap Penerbit Eksekutif album berkembar, Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21).

“Selain kerana meminati lagu ini, Datuk Farid memilih Legenda untuk menjadi sebahagian daripada projek ini kerana lagu ini mempunyai maksud yang jelas dan luas. Jika versi asal Legenda merupakan penghargaan buat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, beliau berpendapat bahawa Legenda versi baharu ini boleh diperluaskan lagi.

“Ia juga adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkorban kepada negara dan memberi sumbangan kepada masyarakat setempat, termasuklah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memainkan peranan besar dalam evolusi tumbesaran Gamelan Melayu,” ujarnya.

Bagi LoQue, diberi peluang untuk memperbaharui lagu Legenda adalah satu penghormatan. Sewaktu menghasilkan lagu ini, dia telah menterjemah penghargaan terhadap para perwira, baik kecil, baik besar, baik yang dikenali, baik yang dilupakan dalam bentuk irama. 

“Hari ini, dalam keadaan dunia yang dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang yang harus dihargai. Bermula daripada para petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, polis, askar dan tidak lupa juga para penghantar makanan, posmen, pekerja pembersihan, dan pekerja restoran. Semuanya adalah perwira yang berjasa besar kepada rakyat dan negara. “Di kala ‘perang halimunan’ ini, semuanya adalah legenda,” katanya.

Menurut LoQue, lagu ini juga khas buat datuknya iaitu Maaruf Mahmud yang merupakan seorang penulis buku kanak-kanak dan panelis Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1980-an.

Ujarnya, antara jasa besar datuknya itu adalah menjadi salah satu individu menghantar petisyen kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman bagi menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di negara ini. 

Dalam pada itu, Legenda yang dimuatkan dalam album berkembar terbaru monoloQue mempunyai 2 versi, yakni versi Piring Hitam(Vinyl) dan versi Cakera Padat(Deluxe).

Legenda versi piring hitam yang dihasilkan pada tahun 2018 merupakan persembahan monoloQue yang dinyanyikan secara solo oleh LoQue. Manakala Legenda versi cakera padat(deluxe) merupakan kerjasama kreatif LoQue dan Kimal Margasatwa. Versi cakera padat (deluxe) telah siap dihasilkan pada tahun 2020. 

Bagu Kimal pula, cabaran sewaktu mencipta Legenda versi baharu adalah menarik minat masyarakat yang telah sebati dengan lagu Legenda versi Sheila Majid untuk mendengar versi MonoloQue.

“Legenda merupakan sebuah lagu malar segar yang berada di aras tinggi dalam industri dan bukanlah mudah untuk diperbaharui, apatah lagi untuk membuat para pendengar menerimanya,” jelasnya.

Namun begitu, Kimal berkata bahawa cabaran tersebut tidak menghalangnya untuk memberikan lenggok vokal yang mempesona dan eksotis.

Ujarnya, di dalam versi piring hitam, LoQue telah menggunakan irama melodi vokal asal tetapi untuk versi bersama, dia telah menyuntik lebih kepekatan lenggok keMelayuan dan menjadikan lagu itu berbeza dari versi sebelumnya.

Legenda telah dirakam di Tunes Studios and Kilang Menjahit Bunyi di bawah pengelolaan LoQue and jurutera bunyi Hafiz Ahmad dan Aiyad Sakti. Rakaman vokal, penambahbaikkan Kimal, dan adunan terakhir telah dilakukan di Makmal Kampung Batu. 

Lagu Legenda di laman digital Spotify, Apple Music, Deezer, dan Tidal serta boleh didengarkan di dalam album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) versi piring hitam dan cakera padat (deluxe). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button