
Sejak beberapa hari ini, kisah mengenai hubungan antara usahawan sensasi, Datuk Seri Vida dan bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli kembali hangat diperkatakan serta menjadi bualan ramai.
Ia berikutan sesi siaran langsung antara usahawan berkenaan dengan Datuk Seri Aliff Syukri yang turut membangkitkan kisah jodoh mengenai Iqbal, sehinggakan Aliff sendiri mahu Vida berkahwin saja dengan Iqbal.
Lebih mencuri perhatian, Iqbal sendiri turut memuat naik sebahagian klip video berkenaan dan dikongsi di laman Instagramnya.
Iqbal yang kini turut meneroka dunia perniagaan produk penjagaan kulit, Iba Skin Care dan minyak wangi (Iba Perfumes), berkata, kisahnya dengan usahawan berusia 49 tahun itu agak merumitkan.
“Ikutkan ketika saya masih menjadi pembantu peribadinya lagi, persoalan jodoh dan kahwin sering diajukan. Malah dulu sampai satu tahap saya dianggap ‘anak ikan’nya apabila ada yang tidak tahu hubungan kami antara majikan dan pekerja.
“Bagaimanapun, kisah tersebut bagai berlalu pergi. Tak sangka pula Datuk Aliff petik balik kisah ini. Sebagai lelaki, kalau cakap soal hati dan selama mengenali insan bernama Datuk Seri Vida itu, saya mengakui terpaut hati dan sayang kepadanya.
“Saya tahu kenyataan sebegini akan menjerat diri. Siapalah saya ketika itu nak mendekatinya yang dianggap berpengaruh. Saya pasti dianggap mahu menumpang populariti dan kekayaannya,” katanya.
Sebelum ini, DSV telah membuat kenyataan bahawa buat masa ini dia masih tidak terfikir untuk berumah tangga.
Malah, usahawan berkenaan memaklumkan akan mencari calon yang sama level dengan dirinya jika ditakdirkan bertemu jodoh.
Dalam pada itu, biarpun jarak usia 22 tahun antara mereka, secara peribadi Iqbal menyatakan dia tidak melihat ia sebagai penghalang.
“Dari saya masih belajar di ASWARA, menjadi pembantu peribadi, hingga dibuang kerja dan sampailah saya ada rangkaian perniagaan sendiri hingga disebut sebagai Orang Kaya Baru olehnya, saya masih Iqbal yang sama. Jujur hati itu masih ada menaruh perasaan kepadanya.
“Saya pun tak melihat seperti bertepuk sebelah tangan, cuma nak kata bercinta itu tak berani. Perasaan itu seolah olah tergantung sepi tanpa ada kesudahan. Lagipun dia sudah pernah berdepan kegagalan rumah tangga dan perasaan keluarga juga perlu dijaga.
“Masa dia bercerai pun, saya ada disisinya. Ikutkan saya pernah bawanya berjumpa dengan keluarga di Kelantan dulu. Jujur kami pernah hampir nak berkahwin, tapi atas beberapa sebab ia tak jadi,” katanya yang merasakan hubungan dan perasaan itu terus dilihat terus terbatas.
Jelas Iqbal lagi, pada masa yang sama perasaan anak kepada usahawan itu juga perlu dijaga, terutama sekali Cik B.
“Perasaan anaknya Cik B pun perlu dijaga. Cik B sendiri tak mahu ibunya bercinta dengan sesiapapun. Barangkali sebagai anak, Cik B tak mahu ibunya terus terluka.
“Jadi, selepas dipertimbangkan mungkin kami lebih sesuai berkawan. Bercinta itu juga tidak semestinya memilikikan? Apatah lagi dalam sehari kami boleh berborak dua tiga jam bercakap soal bisnes.
“Malah kalau ada masalah itu ini termasuk perihal staf, dia akan luah. Saya suntik semangat kepadanya jika dia ‘down’. Kalau dia nangis pun, nangislah jika itu membahagiakan,” katanya yang pernah menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam penulisan kreatif. – KopiPlanet.com