Cerita ArtisHiburan

Lagu Bahagia Kembali Viral… Eza Edmond Kini Jadi Buruan Di Indonesia, Ramai Minta Kebenaran Untuk Rakam Semula

Sejak lagu Bahagia dikeluarkan pada tahun 2017, ternyata ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Namun ketika ini impak lagu nyanyian Eza Edmond itu secara tiba-tiba kembali viral di Indonesia ketika ini.

Penyanyi berusia 23 tahun itu berkata, dia sebenarnya tidak menyangka sambutan yang diberikan oleh pendengar di sana begitu dahsyat sehinggakan ramai yang meminta kebenaran untuk merakamkan semula lagu tersebut.

“Ini memang sesuatu yang di luar jangkaan kerana dahulu lagu ini sudah tular di sana selepas dilancarkan berdasarkan komen yang mereka tinggalkan pada muzik video sehinggakan ada juga yang memuat naik video sendiri sehingga mendapat jutaan tontonan.

“Kini lagu Bahagia sekali lagi tular di sana. Pelbagai versi sudah dibuat oleh pelbagai pihak dan ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada saya yang masih belum dikenali ramai,” katanya.

Ia bermula apabila lagu tersebut diolah semula oleh beberapa orang deejay (DJ) popular di sana dalam pelbagai versi termasuklah remix dan sebagainya.

Antara deejay yang tertarik dengan lagu berkenaan adalah DJ Komang yang sememangnya popular di sana, manakala muzik versi remix yang diadun menjadi viral di aplikasi TikTok seterusnya menambahkan lagi populariti lagu berkenaan. Malah, versi remix yang dibuat juga dimuat naik ke YouTube dan ditonton lebih 20 juta kali.

Sementara itu, Eza berkata setakat ini sudah lebih 20 syarikat muzik dan lebih 30 penyanyi di Indonesia telah meminta kebenaran daripada syarikat rakaman naungannya, Sheikh Qalam Records untuk merakamkan semula lagu berkenaan.

Ujarnya, ada di antara mereka sudah merakamkan semula lagu berkenaan dalam bahasa Jawa dan pelbagai bahasa kaum di sana serta menyiarkan semula di YouTube. Ada juga yang meminta kebenaran untuk mengubah lagu ini kepada versi lain seperti jazz, dangdut, rock dan akustik.

“Tidak tergambar dengar kata-kata apabila lagu ini menjadi sebegitu besar di sana ketika ini. Saya anggap ini rezeki kepada semua yang terlibat dalam pembikinan Bahagia. Mereka bekerja keras dahulu dan hasilnya baru dilihat sekarang.

“Setidaknya dengan sambutan yang diberikan membuatkan saya mahu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri,” kata anak kelahiran Papar, Sabah ini lagi.

Tambah Eza lagi, dia gembira apabila lagu berkenaan juga dinyanyikan oleh Bulan Sutena, salah seorang penyanyi baru di salah sebuah stesen TV di sana.

Impak daripada persembahan berkenaan, semakin ramai yang mula mencari penyanyi asal walaupun lagu berkenaan ditukar tajuk kepada Setiap Yang Ku Lakukan Untuk Mu di sana.

“Saya mahu berterima kasih kepada Hazmi Fahim yang menciptakan lagu yang indah ini. Dah kepada semua peminat, terima kasih terus memberikan semangat kepada saya sejak dahulu. InsyaAllah ada sesuatu yang besar akan saya lalukan sedikit masa lagi. Apa-apa pun kena tunggu,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button