Cerita ArtisHiburan

Timah Tampil Dengan Lagu Ceria, Beri Mesej Positif Serta Bercerita Tentang Harapan & Kesyukuran

Penyanyi dan pelakon cilik berbakat besar, Fatimah Noryyah Mohd. Noor Kosygin atau lebih mesra dengan panggilan Timah, tampil buat pertama kalinya sebagai artis naungan Rocketfuel Entertainment dengan single pertama berjudul Ceria ciptaan komposer terkenal, MFMF bersama  Asyraf Nasir. 

Timah yang baharu sahaja berumur 13 tahun sudah mula berjinak-jinak dengan bidang nyanyian seawal umur 9 tahun lagi.

“Ketika berusia 9 tahun, saya banyak menyertai pertandingan nyanyian di sekolah. Selain itu, saya juga pernah mewakili Malaysia sewaktu pertandingan nyanyian di China dan Taiwan selama 3 tahun berturut-turut.

“Sehinggalah pada tahun 2019 saya mula terlibat dengan Ceria Megastar Ministar dan mara hingga ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Selain berkebolehan menyanyi dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik, Timah juga mahir bertutur dan bernyanyi dalam Bahasa Mandarin.

“Ibu saya sebenarnya merupakan seorang guru Bahasa Mandarin dan ibu banyak mengajar saya untuk mempelajari bahasa tersebut,” ujarnya.

Idea di sebalik tercetusnya single Ceria sebenarnya timbul dari Feros Sayna selaku Ketua Rockefuel Entertainment sendiri. Beliau mahukan sebuah lagu berentak ‘Ceria’ dengan mesej yang positif buat rakyat Malaysia yang sedang dirundung duka kerana masalah pandemik COVID-19.

Ceria merupakan sebuah lagu yang dicipta khas bagi meningkatkan mood keceriaan buat semua orang. Liriknya menceritakan tentang harapan dan kesyukuran, manakala melodinya berentak pop rancak menimbulkan rasa gembira buat pendengar.

Timah rasa terpanggil untuk menceriakan suasana murung yang sedang melanda negara. Impian Timah adalah untuk menggembirakan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat menerusi nyanyian. Tak mungkin kita akan merasa suram selamanya kerana pasti ada pelangi yang bakal muncul apabila semuanya kembali normal.”

Single yang bergenre pop dansa ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlanjutan. Namun, ia berjaya disempurnakan tanpa sebarang masalah.

“Sewaktu proses rakaman sedang berlangsung, banyak perkara baru yang Timah pelajari. MFMF banyak memberi tunjuk ajar tentang teknik-teknik nyanyian yang betul dan bagaimana memperbaiki mutu nyanyian agar mood yang cuba ditonjolkan ‘timbul’ ketika mendengarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, Jipie berkata, walaupun usianya masih muda, Timah sudah mula menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bidang seni.

“Ini terbukti dengan kesungguhan beliau dalam menyampaikan single Ceria. Timah juga seorang yang ingin mempelajari benda baru terutama dalam memahami selok belok dan cabaran dalam industri seni.

“Semoga lagu ini mendapat sambutan dan memberi keceriaan buat semua yang mendengarnya,” ujarnya.

Timah yang meminati penyanyi lama, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, harapannya adalah agar single Ceria dapat menghiburkan setiap lapisan masyarakat di Malaysia tak mengira umur, bangsa mahupun agama kerana mesej positif yang cuba disampaikan.

“Timah juga berdoa agar Tuhan memelihara kita semua dan memberikan kekuatan buat mereka yang sedang bertarung  nyawa disebabkan COVID-19.”

Lagu ‘Ceria’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button