AdvetorialKongsi

JKKN Hasilkan 16 Jurnal Seni Budaya Bagi Memperkasa dan Memperkayakan Rujukan Berkaitan Warisan

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus komited dalam memperkasa dan memperkayakan rujukan berkaitan warisan tidak ketara dengan menghasilkan jurnal berkaitan seni budaya tempatan.

Penghasilan jurnal ini bertitik tolak daripada penganjuran Bengkel Penulisan Jurnal Seni Budaya 2020, yang turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Hingga kini, sebanyak 16 jurnal telah dihasilkan dan akan diterbitkan secara digital melalui pelantar NeuCanvas JKKN. Walaupun usaha yang boleh dikatakan masih setahun jagung, penulisan artikel ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak.  

Artikel ‘Pantang Larang Kaum Lelaki Melanau, Sarawak dan Kesan Ketidakpatuhan’ oleh Mohamad Husri bin Morni telah diterbitkan dalam BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences. Vol. 4 No. (2) 2021.  Manakala artikel ‘Susur Rawai Dessit Duano dalam Seni Dangkong’ oleh Rahmat bin Hj. Damiri dan ‘Adat Berbayoh dalam Pengubatan Tradisional Etnik Melanau’ oleh Zurairi bin Hanip masing-masing telah dihantar untuk penerbitan dalam Jurnal Peradaban Melayu, UPSI dan Jurnal Semarak Bahasa, IPG KL.  

Lain-lain jurnal yang akan diterbitkan oleh JKKN adalah ‘Boneka Batang Besi dalam Persembahan Opera Teochew di Pulau Pinang’, ‘Persembahan Kumpulan Gambus Seni Warisan Kampung Padang Changkat: Satu Pengenalan dan Eksplorasi Struktur Persembahan’, ‘Pengurusan Kostum dalam Persembahan Teater oleh Badan Bukan Kerajaan Seni Budaya di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan’, ‘Perlambangan Bahasa dalam Mantera Bersandoi di Kampung Tengkek, Padang Lebar, Negeri Sembilan’ dan ‘Kemerosotan Seni Persembahan Dondang Sayang di Melaka: Satu Tinjauan Terhadap Persepsi Penggiat Seni’.

Selain itu, turut dihasilkan adalah jurnal ‘Proses Atangumoh Etnik Murut Tahol di Kemabong, Tenom, Sabah’, ‘Elemen Asas dan Mesej Dalam Lirik Lagu Yang Mengiringi Tarian Tradisional Ceracap Inai di Johor’, ‘Menora Masyarakat Siam-Kelantan dalam Cerpen Karya Eh Deng Eh Chik’, ‘Adat Rombak Dapur di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia’, ‘Penghasilan Naskhah Nur Sakti: Teater Tradisional Terengganu’, ‘Demografi dan Persepsi Pengunjung di Festival Permainan Tradisional Malaysia@Kuala Lumpur 2019: Satu Tinjauan’, ‘Osman Ibrahim: Bintang Bangsawan Negeri Pahang’ dan ‘Jikey’. 

Semua artikel ini merupakan cetusan idea dan hasil garapan penulisan pegawai-pegawai JKKN sendiri dengan bantuan Prof. Madya. Dr. Norazlina binti Mohd Kiram, Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani dan Dr. Jamayah binti Zakaria.

Pada tahun ini, JKKN mensasarkan sebanyak 17 artikel jurnal akan dihasilkan.  Bersama-sama tenaga pembimbing dari Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, JKKN telah  berjaya menyediakan satu garis panduan penulisan artikel jurnal penyelidikan seni budaya yang secara asasnya menggariskan panduan penulisan artikel jurnal. 

Berbeza dengan tahun 2020 yang mengguna pakai format APA Style 6th edition,  format pada kali ini menggunakan rujukan Chicago Manual of Style.  Perbezaan format rujukan adalah bagi memberikan peluang kepada jabatan dan pegawai untuk meneroka kesesuaian penulisan yang menepati standard semasa.

Garis panduan yang telah dibangunkan tersebut akan dimantapkan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan penulisan jurnal jabatan. 

Selain itu, ia boleh dijadikan rujukan kepada penggiat dan penulis seni budaya yang berhasrat untuk turut menyumbang dalam penulisan seni budaya.   

“Sejajar dengan Pelan Strategik JKKN 2021-2025, JKKN berhasrat untuk mengekalkan momentum penghasilan jurnal secara tetap dan berterusan bagi tempoh lima (5) tahun sebagai usaha untuk mendapatkan sitasi jurnal tempatan daripada Pusat Sitasi Malaysia (PSM) untuk diindekskan  dalam pangkalan data MyCite.

“Perancangan jangka masa panjang pula, JKKN mensasarkan untuk menghasilkan jurnal penyelidikan seni budaya yang menepati standard penulisan jurnal antarabangsa dan diperakui sebaris standard SCOPUS/WOS/PubMed/CiteSeer dan lain-lain,” ujar Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. 

Pihak JKKN menyedari bahawa proses pengiktirafan ini adalah suatu proses yang sukar namun diyakini ia boleh dicapai dengan komitmen dan kerjasama yang berterusan.  Sebagai langkah awal, semua artikel jurnal akan dikompilasikan dalam satu koleksi jurnal yang boleh dicapai melalui pelantar digital JKKN iaitu laman sesawang dan NeuCanvas.  

Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai perkara ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button