FilemTerkini

Hantu Ke Lima Angkat Isu Influencer Kejar Konten Demi Viral

Ketika ini, semakin ramai influencer yang muncul dengan menghasilkan pelbagai konten dalam usaha untuk menambah bilangan pengikut di media sosial.

Sehubungan itu, syarikat produksi AT Movies telah tampil dengan sebuah filem bergenre komedi seram iaitu Hantu Ke Lima yang memaparkan kisah pempengaruh (influencer) dalam mengejar konten yang sangat popular demi viral.

Penerbit Hantu Ke Lima & Wakil ATHY Movies, Datuk Athy menyatakan filem ini dihasilkan bagi memenuhi kehendak penonton yang sering menjadikan genre komedi dan seram sebagai pilihan utama. 

“Saya berasa sangat teruja kerana filem terbitan produksi AT Movies akan dipersembahkan kepada penonton. Dalam pada itu, saya juga rasa gementar untuk melihat reaksi penonton. Ini adalah kali pertama pihak kami menghasilkan sebuah filem melayu.

“Pembikinan filem ini telah dijalankan sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu berakhir. Sesi penggambaran berjalan dengan lancar meskipun dalam situasi yang amat mencabar dan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan,” ujarnya.

Hantu Ke Lima menampilkan gandingan pelakon-pelakon popular seperti Raysha Rizrose, Aisar Khaled, Izzue Islam, Shiha Zikir, Elly Mazlein, Pu Azman, Adibah Noor, Danish Danieal dan Azman Ahmad.

Menariknya, Hantu Ke Lima menjadi filem melayu pertama oleh produksi AT Movies kerana sebelum ini hanya menumpukan perhatian dalam menghasilkan filem Tamil tempatan, antaranya ‘Athaiyum Thaandi’ dan ‘Azhaggiye Thee’.

Diarahkan oleh Azhari Zain, ia mengisahkan tentang Auni Qaisara Putri (Raysha Rizrose) mencari perlindungan setelah dianiaya oleh ibu tirinya Puan Sri Zaleha (Adibah Noor) dalam skim pelaburan saham yang merugikan. Puncak Mahligai kediaman mewah peninggalan arwah ayah Auni yang dipelihara oleh Iskandar Syah (PU Azman) dan isterinya, Kam (Elly Mazlein) menyimpan seribu satu misteri.

Pada masa sama, TKO Studio yang diusahakan Taufiq (Aisar Khaled), Kent (Izzue Islam) dan Oya (Shiha Zikir) sedang dalam kejatuhan dan mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Puan Sri Zaleha dalam mempromosi Puncak Mahligai untuk menarik minat pelabur. Namun mereka berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik. Auni Qaisara Putri akan mempertahankan satu-satunya kenangan bersama arwah ayah dan ibunya di Puncak Mahligai.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kali ini Astro First membawakan sebuah filem komedi seram yang mempertaruhkan bakat-bakat muda sebagai teraju utama

“Kami juga turut berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan penerbit dan produksi AT Movies buat julung kalinya dalam membawakan filem ini kepada penonton sasaran.

“Kami harap, platform Astro First mampu dilihat sebagai salah satu ruang yang bukan hanya mengangkat bakat kreatif seperti pengarah filem dan penulis skrip tetapi turut menjadi platform bagi penerbit mencuba sesuatu di luar kotak dan kebiasaan mereka kepada penonton dan industri filem tempatan,” ujarnya.

Saksikan filem komedi seram, Hantu Ke Lima yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 7 Oktober 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button