Setelah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan untuk filem pertama dengan kutipan sebanyak RM3 juta di saluran Astro First, kini penerbit Astro Shaw dan Skop Productions sekali lagi bergabung menghasilkan Penunggang Agama 2.
Menariknya, kali ini filem seram thriller ini menampilkan aksi yang lebih seram dan penuh kejutan. Jika dibandingkan filem Penunggang Agama pertama dan sekuelnya ini, Penunggang Agama 2 lebih terang dan bersuluh dalam menghuraikan definisi ‘penunggang agama.’
Pengarah filem Penunggang Agama 2, Syafiq Yusof berkata, filem berkenaan memberi cabaran baru buat dirinya untuk lebih memahami gaya tontonan dan cita rasa penonton sasaran.
“Bagi Penunggang Agama 2, saya cuba memberikan persembahan terbaik dan lebih mengujakan. Buat penonton yang tidak berkesempatan menyaksikan filem prekuelnya, mereka masih boleh mengikuti jalan cerita sekuelnya kerana konflik adalah berbeza serta baru.
“Di samping menjanjikan nilai hiburan, filem ini turut menyelitkan nilai pengajaran yang dekat dengan penonton lebih-lebih lagi dalam zaman serba moden dan era siber ini. Sedikit sebanyak apa yang dipersembahkan dalam Penunggang Agama 2 mungkin berlaku di luar sana,” ujarnya.
Penunggang Agama 2 adalah kesinambungan kisah Amir dan Anna yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama, manakala seorang anak murid Anna bernama Anim hilang secara tiba-tiba sejurus pulang dari kelas mengaji yang dikendalikan oleh Anna.
Kedua ibu bapa Anim meminta bantuan Amir dan Anna untuk mencari anak mereka. Sementara itu, Amir mula obses dengan kerja sampingannya iaitu merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana ganjaran lumayan yang diterima. Kehebatan Amir dalam menyembuhkan pesakitnya juga turut tular di media sosial dan itu membuatkan dia semakin selesa dengan gelaran Ustaz.
Pada masa sama, Amir mengubah penampilannya dengan sentiasa mengenakan jubah putih serta berkopiah. Kehadiran seorang paderi bernama Father Michael yang turut sama mencari Anim yang hilang telah mencabar ego dan kredibiliti Amir. Amir mencurigai Father Michael dan percaya lelaki itu mempunyai agenda tersembunyi.
Selain masih mengekal teraju utamanya iaitu Zul Ariffin dan Azira Shafinaz, antara pelakon lain yang turut membintangi Penunggang Agama 2 adalah Salina Saibi, Johan As’ari, Dato’ Rahim Razali, Anna Jobling, Puteri Nurqaseh, Burhan Sidqi dan Sharifah Aisyarha.
Selain itu, antara daya tarikan lain bagi filem yang menjalani sesi penggambaran di Cameron Highlands ini adalah watak baru yang diperkenalkan iaitu seorang padre bernama Father Michael yang dibawakan oleh pelakon hebat Tony Eusoff.
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, rentetan daripada kejayaan filem Penunggang Agama yang pertama dan melihat reaksi penonton, pihaknya tidak teragak-agak untuk menerbitkan sekuel seterusnya selepas tujuh bulan filem pertama ditayangkan.
“Memandangkan filem pertamanya masih ‘fresh’, kami cuba mengekalkan momentum terbaik ini dengan membawa terus kepada penonton. Menariknya kali ini, filem Penunggang Agama 2 menjanjikan lebih mendebarkan berbanding prekuelnya. Banyak perkara dikupas dan terjawab daripada filem pertamanya.
“Malah menerusi karakter dan watak baru yang diperkenalkan, turut membuka mata penonton untuk menghormati dan menghargai antara satu sama lain, meskipun berbeza pendapat dan kepercayaan. Mesej yang disampaikan bersifat universal dan sesuai untuk ditonton oleh semua masyarakat tanpa mengira latar yang memberikan mesej pengajaran yang dapat dijadikan iktibar kepada kita semua,” jelasnya.
Jangan lupa saksikan filem seram thriller, Penunggang Agama 2 yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 19 Oktober 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
“Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Selain itu, bagi mereka yang ingin menonton Penunggang Agama 1, boleh juga melanggan dua koleksi filem tersebut di Astro First secara kombo (Penunggang Agama 1 dan Penunggang Agama 2) dengan satu harga istimewa RM19.90. – KopiPlanet.com