DramaRancangan TV

Bront Palarae & Sangeeta Krishnasamy Bintangi Siri Aksi I Am Vash, Kisah Polis Wanita Banteras Jenayah Sekitar Tahun 70-an

Syarikat 108 Media, sebuah syarikat penjana kewangan kandungan dan pengurusan hak media yang tertumpu kepada pasaran baru, telah menyenaraikan syarikat penerbitan premium naungan Zainir Aminullah, Revolution Media sebagai penerbit bersama untuk siri aksi-jenayah asli mereka berjudul I Am Vash.

Menariknya, ia bakal membariskan beberapa bintang tersohor yang akan memulakan penggambaran pada Mei 2022 dan siap untuk tontonan pada tahun 2023.

Siri berkenaan berkisar bandar Pelabuhan Klang di Malaysia yang dipenuhi jenayah sekitar tahun 1970-an, ia dinaungi watak Vash seorang pegawai polis wanita yang sentiasa menghadapi tekanan masyarakat dan politik sambil cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kerjayanya.

Kes itu membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara untuk memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap Asia Tenggara.

Sebagai projek yang diterajui Adrian Teh, salah seorang pengarah paling berjaya dan prolifik di Malaysia, ia menampilkan gaya pengarahan khasnya dengan pembabitan dua bintang tersohor negara iaitu Sangeeta Krishnasamy (Pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke- 29) yang memainkan watak utama Vash di samping seorang bintang yang tidak asing lagi iaitu Bront Palarae yang memegang watak Rahman, rakan sejawatnya.

Projek ini akan diketuai dan diterbitkan oleh para penerbit eksekutif seperti Justin Deimen, Abhi Rastogi serta Micah Tadena (108 Media) bersama Zainir Aminullah di samping Anne Low (Revolution Media).

Turut serta adalah pasukan penerbitan dan kreatif yang menjangkaui rantau Asia Tenggara dan Los Angeles, terdiri daripada David Chang, Choong Chi-Ren, Tony Pietra Arjuna, Justin Wong, Shern Chong dan Leon Tan.

Selepas berjaya mencetus fenomena baharu dalam industri serantau lewat filem-filem komersial luar biasa seperti THE WEDDING DIARY, PASKAL dan WIRA, sutradaranya Adrian Teh bersemangat dengan latar belakang unik projek ini.

“Watak utama diterajui kaum minoriti dengan premis zaman retro berserta aksi? Ini sesuatu yang sangat mencabar buat saya sebagai seorang pengarah. Sudah tentu saya mahu turut serta,” ujarnya.

Pelakon utama Sangeeta Krishnasamy yang bakal memegang watak utama iaitu Vash meluahkan rasa terujanya kerana terlibat dalam siri tersebut.

“Saya sangat teruja kerana dapat terbabit dalam sebuah projek yang tertumpu pada satu zaman di mana sistem kehakiman jenayah tempatan menghadapi cabaran-cabaran terbesar dan kisah terkenal dalam sejarah negara.

“Malah, saya lebih gembira bahawa ia dinaungi seorang protagonis wanita. Ini meraikan tempat wanita dalam pasukan berseragam,” ujarnya.

Sementara itu, Bront Palarae yang merupakan salah seorang pelakon terbaik dan paling banyak menerima anugerah di Asia Tenggara menyertai senarai pelakon dan menghulurkan pengalamannya kepada pihak penerbitan. 

“Saya sangat teruja untuk beraksi dalam I AM VASH, sambil menghidupkan kisah-kisah sahih serta watak-watak Asia Tenggara buat tontonan dunia.

“Apatah lagi diberi peluang bekerjasama dengan pasukan dari 108 Media serta Revolution Media, saya yakin kami akan menjadikannya satu pengalaman luar biasa,” jelasnya.

Presiden penerbitan 108 Media, Justin Deimen pula telah mengupas maksud mendalam kisah Vash serta menganggap ia sebuah kisah menarik untuk diketengahkan.

“Watak seperti Vash ini sangat penting bagi kaum minoriti dan komuniti serantau untuk diketengahkan, Malah ia dimainkan seorang bintang berbakat besar seperti Sangeeta yang akan menaikkan lagi semangat pasukan kami.

“Menyatukan unsur budaya dan komersial boleh menjadi satu titik pendorong buat kemunculan pergerakan baharu yang dapat melahirkan kandungan serantau yang mampu meliputi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Pada masa sama, dia yakin penonton akan memberikan respon yang luar biasa terhadap citarasa dan misteri dalam siri ini, selain unsur era serta latar belakangnya yang tidak dilupakan.

Diilhamkan oleh peristiwa bersejarah, watak-watak ikonik dan wira-wira nyata, siri penuh aksi ini digarap dengan panel penulis lintas-sempadan buat tontonan penduduk tempatan serta antarabangsa dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di samping Bahasa Tamil dan juga dialek- dialek Bahasa Cina. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button