Cerita ArtisHiburan

Ahmad Idham, Eizlan Yusof Ke Wisma Putra… Masing-Masing Dilantik Sebagai Setiausaha Kebudayaan & Perunding Kreatif

Dua orang pelakon dan pengarah popular, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Datuk Seri Eizlan Yusof akan memulakan tugas di Wisma Putra mulai hari ini.

Perkara berkenaan diumumkan sendiri oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, di mana Ahmad Idham dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan, manakala Eizlan pula memegang peranan sebagai perunding kreatif.

“Dr. Ahmad Idham merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan mempunyai pengalaman luas dalam industri kreatif Malaysia selama lebih 25 tahun, termasuk memenangi anugerah antarabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada tahun 2018.

“Dato’ Seri Eizlan pula merupakan seorang yang tidak asing dalam industri ini dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujarnya menerusi kenyataan tersebut.

Beliau berkata, pelantikan mereka adalah selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia yang bertujuan untuk mewujudkan kaedah baharu bagi mempamerkan identiti dan nilai kebangsaan kita, di samping memaparkan nilai-nilai kepelbagaian & kepelbagaian budaya serta menggalakkan promosi dan pertukaran budaya.

“Bagi mempromosikan Diplomasi Budaya, Jawatankuasa Seni & Budaya (ARCA) akan ditubuh di bawah Pejabat Menteri untuk mengukuhkan usaha dalam meletakkan seni Malaysia sebagai saluran berkesan dalam mempromosikan warisan sejarah dan budaya negara.

“Saya yakin bahawa Dr. Ahmad Idham dan Dato’ Seri Eizlan akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan dedikasi dan jayanya,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
1
+1
1
+1
2
+1
1
+1
5
+1
8

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button