Cerita ArtisHiburan

Usaha Empat Tahun Buahkan Hasil, Vanidah Imran Kini Bergelar Graduan Sarjana Seni Persembahan

Usaha pelakon popular Vanidah Imran selama empat tahun membuahkan hasil apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Seni Persembahan (Drama).

Vanida berkata, perjalanan empat tahun bagi melengkapkan tempoh pengajian itu bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan seni dan belajar pada masa sama.

“Pergelutan itu memang bukan calang-calang. Ia tak mudah langsung, tetapi saya bersyukur kerana dirahmati. Saya memiliki kawan yang sama-sama buat sarjana termasuk Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir.

“Kami bertiga berjanji, walau apa jua cabaran akan menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan membakar semangat antara satu sama lain. Saya juga beruntung kerana tak pernah putus sokongan daripada kawan lain seperti Prof Madya Aminah Rhapor, penyelia (Dr Marlenny Deenerwan), keluarga dan anak,” katanya.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu menjadi seorang daripada penerima ijazah daripada lebih 7,682 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-61, Universiti Malaya berlangsung Sabtu lalu (12 Mac lalu) di Dewan Tunku Canselor universiti berkenaan.

Sebelum ini, Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 ini terlebih dahulu bergelar graduan ijazah sarjana muda Pengajian Bahasa Inggeris pada tahun 2015 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Dalam pada itu, Vanidah berkata, selama ini kedua-dua anaknya sudah memahami rentak dan cara kehidupan ketika dia sibuk dengan jadual pengajian.

“Apabila saya perlu lunaskan banyak perkara, anak-anak sudah memahami, misalnya kalau saya kena mengadap tesis, tarikh akhir serahan tugasan dan sesi virtual. Tambah pula berdepan fasa genting di era pandemik Covid-19.

“Kalau saya tak sempat masak dan sediakan makanan, maka mereka pandai-pandai buat makan sendiri atau tempah dari luar,” katanya.

Pada masa sama, Vanidah turut mengakui sebelum ini betapa ruginya tidak menyambung pengajian ketika masih muda.

“Apabila belajar di usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah.

“Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Tapi saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika ada anak kecil dan keluarga itu lebih buat saya jadi kuat.

“Namun sebanyak mana tekanan, tanggungjawab mahupun suntikan motivasi atau nasihat daripada orang lain, pada akhirnya kita yang mengharungi ‘battle’. Nak buat terbaik atau sebaliknya terserah kepada diri sendiri,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
3
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button