Cerita ArtisHiburan

Detik Cinta Kesinambungan Lagu Permata Untuk Isteri, Luahan Rasa Cinta & Sayang Seorang Isteri Kepada Suami

Kemunculan Detik Cinta merupakan inisiatif untuk memberikan nafas baru kepada lagu-lagu puisi agar terus dihayati dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Sedar dengan kewujudan pelbagai genre muzik moden pada hari ini menjadikan lagu puisi tidak mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, sampai masanya kita perlumemberikan nafas baharu kepada lagu puisi agar susunan puitis dan maksud yang mendalamnya juga mendapat tempat di hati generasi muda hari ini.

Detik Cinta merupakan lirik yang dihasilkan oleh Adi Syahid dan Alim Gutrah yang baru berjinak-jinak dengan penulisan puisi dan melodi ciptaan penyanyi lagu puisi terkenal iaitu Syed Indera bin Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso Kopratasa.

Apa yang menariknya, lagu Detik Cinta adalah sebuah puisi berbentuk luahan rasa cinta, syukur dan sayang seorang isteri kepada suaminya. 

“Pada asalnya, kami berdua menulis lirik untuk lagu ini bertajuk Puisi Khadijah Al-Khuwailid bagi jawapan balas kepada lagu Permata Untuk Isteri yang didendangkan oleh kumpulan Kopratasa.

“Jika lagu Permata Untuk Isteri adalah puisi seorang suami kepada seorang isteri manakala Puisi Detik Cinta ini adalah puisi seorang isteri kepada suaminya. Kami memberikan kesinambungan kedua-dua lagu di dalam bentuk puisi ketuhanan dan kesufian,” ujar Adi & Alim.

Jelas mereka, lagu berkenaan juga membawa pendengar menyedari dengan melodi yang asyik berkenaan dengan kehidupan ini juga akan dibawa kepada suatu kehidupan kekal selepas kematian.

Ujar mereka lagi, penghasilan Detik Cinta bermula dengan penulisan puisi. Berbeza dengan penghasilan lagu dalam genre lain yang kebiasaannya terhasil daripada penciptaan melodi terlebih dahulu. Lirik puisi yang dihasilkan oleh penulis telah mendapat sentuhan melodi daripada Siso. 

“Pemilihan Siso sebagai penyanyi merupakan satu pemilihan yang tepat kerana apabila kita bercakap tentang lagu puisi susah pasti kita akan terbayang kepada Kopratasa. Tambahan pula SISO sememangnya terlibat daripada awal penghasilan lagu ini,” kata mereka.

Mengulas lanjut dari penulis lirik, mereka mengambil masa selama empat jam untuk berbincang dan menulis setelah meneliti sirah kehidupan Khadijah binti Khuwailid dan lirik lagu Permata Untuk Isteri. 

“Setelah sempurnanya lirik, kami menghantar kepada Siso Kopratasa untuk membuat melodinya seterusnya Encik Hamzan bin Haji Hassan dari Dominant Studio memberikan nafas baharu lagu puisi ini   dengan muzik Pop Latin berlatar belakangkan keindahan bunyian alat muzik soprano,” jelas mereka.

Sementara itu, Siso memberitahu proses menghasilkan lagu Detik Cinta mengambil masa selama setahun pada 2021 dari mula pembikinan lirik, gubahan muzik, rakaman lagu dan pembikinan video klip lagu Detik Cinta. Proses mengambil masa yang panjang kerana larangan pergerakan ke luar negeri kerana PKP.

“Pusi Detik Cinta merupakan satu seni kata yang merujuk kehidupan. Perjalanan hidup yang gelap memerlukan satu cahaya walau sebesar lilin sebagai panduan meniti jalan yang penuh onak dan ranjau,” ujarnya.

Siso berkata, dia berharap lagu tersebut dapat mengangkat kembali lagu-lagu puisi dengan irama yang lebih segar. Seterusnya mendapat tempat dihati semua golongan dan masyarakat di Malaysia khususnya dan Nusantara amnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button