EventHiburan

Astro Kasih ESG Perjuang Kesaksamaan Pendidikan Menerusi Kampus Astro In School, Beri Manfaat Kepada Pelajar Di Semua Sekolah Kerajaan

Dalam usaha untuk memastikan akses sama rata kepada pendidikan untuk semua, Astro Kasih ESG, cabang kemampanan Astro Malaysia telah memperjuangkan kesaksamaan pendidikan melalui program Kampus Astro in School, yang mana lima juta pelajar di semua sekolah kerajaan mempunyai dekoder Astro, TV dan akses kepada 14 saluran pembelajaran.

Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata, sebagai syarikat kandungan dan pengguna terkemuka di Malaysia, Astro komited untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaannya dengan cara yang mampan dan bertanggungjawab melalui inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Ia merangkumi tanggungjawab alam sekitar, impak sosial yang positif dan tadbir urus yang baik. Di Astro, kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapatkan pendidikan.

“Kami komited untuk menggunakan platform, capaian, kandungan dan sumber kami untuk memberi semua kanak-kanak di Malaysia akses yang sama kepada pembelajaran berkualiti untuk membuka minda demi masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.

Jelas Henry, Astro juga telah memperjuangkan kesaksamaan pendidikan selama lebih sedekad dan telah melabur lebih RM120 juta dengan mencipta program-program pembelajaran seperti Tutor TV SK, Tutor TV SMK, SPM Pro+ dan banyak lagi untuk semua pelajar di Malaysia.

Ujar beliau, bagi memudahkan para pelajar hadir ke sekolah, Astro Kasih turut membina Asrama Astro di SK Magandai, SK Sg Paku dan SK Malinsau yang terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kemudahan ini membantu 220 pelajar menjimatkan lebih 190,000 jam untuk berulang-alik harian dalam setahun. Selain itu, Astro Kasih juga memberikan pelajar-pelajar ini akses kepada pendidikan dengan melengkapkan asrama mereka dengan kandungan pembelajaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi menyedarkan kesusahan yang dihadapi para pelajar di kawasan pedalaman hanya untuk hadir ke sekolah, pihaknya menganjurkan acara Walk for Education dan semua sumbangan akan disumbangkan ke SK Magandai, Kota Marudu dan SK Malinsau, Ranau (Sabah); SK Sg Paku, Kapit (Sarawak); dan asrama Starfish Malaysia Foundation di Malaysia Timur.

“Astro Kasih berharap usaha ini membolehkan lebih ramai pelajar di kawasan pedalaman Malaysia Timur menerima peralatan sekolah, pakaian seragam, kasut dan buku.

“Syarikat digalakkan untuk mengambil bahagian dengan menaja para pekerja mereka untuk menyertai acara berjalan kaki sejauh 5km. Peserta akan membawa beg melalui denai yang disesuaikan khas di Taman Wetland Putrajaya untuk mensimulasikan pendakian harian pelajar ke sekolah,” jelas beliau.

Acara Walk For Education menjanjikan hari yang menyeronokkan untuk seisi keluarga. Terdapat gerai permainan dan aktiviti, konsert mini yang menampilkan artis-artis tempatan seperti Timah, Wani Kayrie, Masya Masyitah, Abigail, Irfan Haris, Lil J, Ara Johari dan Dem Lepak Boyz. Tidak ketinggalan juga sesi fotografi dengan maskot yang digemari termasuk BoBoiBoy, Mechamato, Ben 10, Adventures daripada Gumball serta Chowder.

Mereka yang ingin menyokong perjalanan pendidikan kanak-kanak ini boleh menyertai Walk for Education di Taman Wetland Putrajaya pada 28 Mei 2022. Pendaftaran pada harga RM60 seorang kini dibuka di laman web http://t2u.asia/e/27113. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button