FilemTerkini

Animasi Keluang Man Akan Kembali, Astro Shaw Dapat Hak Cipta Adaptasi Ke Layar Perak

Siri animasi legenda Malaysia yang amat popular dan menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat tempatan sejak lebih dua dekad lalu, Keluang Man bakal diangkat ke layar perak.

Apa yang menariknya, penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd baru-baru ini bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.

Kerjasama ini sekali gus menjadi titik permulaan buat Astro Shaw dan Iconic Animation Studio dalam memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda ini kepada generasi baharu serta bakal melahirkan universe adiwira tempatan terbesar.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya rasa amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk bekerjasama dengan Iconic Animation Studio dalam mengangkat karya animasi legenda ini ke pentas yang lebih besar iaitu ke layar perak.

“Kami percaya jenama Keluang Man amat besar dalam industri seni animasi tempatan dan mempunyai peminat tersendiri yang membesar bersama siri animasi ini.

“Meskipun jenama ini telah lama disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman,” ujarnya.

Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000-an. Siri animasi adiwira pertama tanah air ini diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Bin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas Dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor dan pertama kali disiarkan pada tahun 1998.

Mempunyai tujuh musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita amat unik yang mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi.

Sementara itu, Pengarah Iconic Animation Studio Sdn Bhd, Muhamad Firdaus Omar berkata, jenama Keluang Man telah bertapak dalam industri animasi lebih 26 tahun dan ia masih diingati serta diperkatakan dalam kalangan peminatnya.

“Kami yakin ramai yang menantikan kemunculan semula animasi Keluang Man ini. Malah, perancangan untuk membawa animasi ini ke filem juga telah lama dibuat.

“Alhamdulillah, akhirnya impian ini bakal terlaksana dan lebih rasa berbesar hati kerana ia bakal direalisasikan bersama penerbit terkemuka Malaysia, Astro Shaw. Jadi, nantikan kemunculan semula Keluang Man tidak lama lagi,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button