Tampil Dengan Lagu Ketuhanan, Fattah Amin Harap Padamu Dapat Jadi Terapi Jiwa Kepada Pendengar
Satu demi satu kejayaan yang dicapai pelakon dan penyanyi Fattah Amin dalam dunia seni mahu pun kehidupan peribadi tidak pernah menjadikan dirinya lupa dari mana asal usulnya.
Malah menurut Fattah, jika berlaku kegagalan ataupun doa yang belum dimakbulkan, sebagai hamba jangan pernah bersangka buruk kepada Allah dan teruslah melafazkan rasa syukur atas segala kurniaan ataupun ujian yang diberikan.
Berpegang teguh kepada prinsip itu, Fattah menterjemahkan perasaannya itu menerusi single baharu berjudul Padamu hasil ciptaan komposer dan penyanyi Ikhwan Fatana dan Wan Salleh.
Masih mengekalkan konsep ketuhanan untuk buah tangan terbarunya itu, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin ini mendedahkan lirik asal lagu itu terpaksa dirombak untuk disesuaikan dengan jalan cerita yang dia inginkan.
“Lagu ini mengisahkan tentang rasa seorang hamba pada pencipta-Nya yang sentiasa percaya pada-Nya. Walaupun sehebat mana kejayaan yang kita kecapi atau sedalam mana kegagalan yg kita alami, kita masih tetap rasa cinta dan syukur di bawah peliharaan dan lindungan-Nya,”.
“Melodi asal lagu ini sebenarnya dicipta oleh Ikhwan. Cuma liriknya telah diubah semula setelah saya berkongsi dengan Universal Music mengenai hala tuju dan maksud yang saya mahukan untuk lagu terbaru saya itu.
“Selepas mendengar kisah yang saya diceritakan, Ikhwan selaku penulis lirik telah mengubah semula senikata berdasarkan mesej yang ingin saya kongsikan itu,” kata penyanyi berusia 31 tahun itu.
Dilihat cukup selesa merakamkan lagu berunsur ketuhanan, suami kepada aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin ini menyifatkan lagu sebegini mampu menjadi terapi jiwa kepada mereka yang mendengar.
“Selepas melancarkan beberapa buah lagu berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan, saya sekali lagi terdetik untuk berkongsi rasa dalam lagu yang masih mengekalkan genre yang serupa.
“Cuma kali ini saya menggunakan khidmat komposer dan penulis lirik yang berbeza. Bagi saya lagu sebegini mampu menjadi terapi diri.
“Contohnya untuk pendengar lain termasuk pada kita yang juga hamba-Nya supaya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan dan sentiasa beringat supaya tidak lupa dan alpa dalam menjalani kehidupan seharian,” pesan aktor tinggi lampai ini.
Berkongsi pengalaman di studio, Fattah meluahkan rasa syukur kerana proses rakaman lagu itu berjalan lancar.
“Saya amat berterima kasih dengan Wan Salleh yang banyak membantu saya ketika proses rakaman berlangsung,” ungkapnya.
Antara lagu bergenre kerohanian yang pernah dirakamkan Fattah adalah Kiriman Agung, Sinar Selawat dan Hamba.
Mengulas pembikinan muzik video (MV) lagu ini, Fattah mengakui berdepan cabaran untuk menghasilkannya berikutan tarikhnya bertembung ketika umat Islam sedang membuat persiapan untuk menyambut Lebaran.
“Lagu ini dilancarkan di semua pelantar digital pada April lalu iaitu berdekatan tarikh perayaan Aidilfitri. Disebabkan itu timbul cabaran apabila lagu ini terpaksa bersaing sedikit dengan lagu-lagu raya.
“Bagaimanapun kami tidak tidak melihat perkara itu sebagai satu halangan kerana bagi saya yang penting adalah mesej dan rasa yang saya nak sampaikan pada pendengar.
“Walaupun pembikinan MV lagu ini sedikit lewat kerana saya mahu ia dilancarkan selepas hari raya, saya tetap berpuas hati dengan hasilnya yang nampak ringkas tetapi bermakna,” ujar Fattah.
MV Padamu sudah boleh ditonton di saluran Youtube rasmi penyanyi itu mulai 9 Jun lalu. – KopiPlanet.com