Cerita ArtisHiburan

Randy Pangalila Akui Terbit Rasa Rindu Mahu Kembali Berlakon Di Malaysia

Pernah membintangi beberapa drama bersiri di Malaysia, nama aktor popular Indonesia, Randy Pangalila sudah sinonim dengan peminat di sini.

Berkesempatan bertemu dengan Randy ketika media screening filem Perjalanan Pertama pada minggu lalu, aktor berkenaan mengakui rindu untuk kembali berlakon di Malaysia.

“Memang saya akui cukup merindui untuk kembali berlakon di Malaysia, malah sebelum ini pun sudah ada perbincangan menghasilkan beberapa projek di sana (Malaysia) seperti Gantung The Series musim kedua.

“Cuma, segala perancangan terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia. Dalam keadaan yang semakin pulih ini, saya harap apa yang tergendala akan dapat diteruskan,” ujarnya.

Menurut Randy, berpeluang dapat berlakon di Malaysia juga adalah satu pengalaman yang menyeronokkan, sehingga melonjakkan namanya dalam kalangan peminat di sini.

Selain Gantung The Series, antara drama Malaysia lain yang dia turut terlibat adalah seperti Dalam Hati Ada Taman (2012), Benci vs Cinta (2013) dan Urusan Hati Cik Drama Queen (2017).

Randy Pangalila bakal muncul dalam filem usahasama syarikat produksi D’Ayu Pictures (Malaysia) dan Mahakarya Pictures (Indonesia), Perjalanan Pertama yang akan ditayangkan di pawagam pada 18 Ogos akan datang.

Sementara itu, mengenai pembabitannya dalam filem Perjalanan Pertama pula, Randy memberitahu ia adalah satu penghargaan buat dirinya apabila dapat bergandingan dengan pelakon hebat Malaysia seperti Datuk Ahmad Tamimi Sirergar.

Jelasnya, biarpun peranannya dalam filem berkenaan tidak besar, tetapi dia tertarik menerima tawaran yang diberikan kerana mesej yang disampaikan menerusi filem arahan Arief Malinmudo itu.

“Sebaik membaca skrip filem ini, saya lantas tertarik dengan mesej kekeluargaan yang disampaikan, berkisar tentang hubungan antara datuk dan cucu yang jarang dipertontonkan.

“Soal filem ini berbajet besar atau tidak, watak kecil atau sebaliknya… apa yang lebih penting mesej dalam penceritaannya itu,” ujarnya yang memegang watak sebagai Mukhtar.

Selain Randy dan Ahmad Tamimi, filem Perjalanan Pertama turut dibintangi beberapa pelakon lain seperti Muzakki Ramdhan, Adinda Thomas dan Gilang Dirga.

Diterbitkan menerusi usahasama syarikat D’Ayu Pictures (Malaysia) dan Mahakarya Pictures (Indonesia), ia akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 18 Ogos akan datang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button