Cerita ArtisHiburan

Ikut Jejak Bapa Bergelar Penyanyi, Restu Akui Lebih Selesa Berdikari

Membesar dalam keluarga berdarah seni pastinya ramai yang menyangka penyanyi Indonesia, Restu tidak berdepan laluan sukar untuk membina nama dalam industri muzik.

Namun begitu, secara realitinya dia lebih selesa berdikari tanpa perlu bergantung kepada populariti ayahnya kerana itu memberikan lebih kepuasan buat jejaka berusia 17 tahun ini.

Restu atau pemilik nama sebenar, Mohammad Restu Gibran Van Houten adalah anak sulung vokalis Setia Band, Charly Van Houten dan Shinta Regina.

Dilahirkan pada 24 September 2005, Restu mengakui, sejak kecil dia sering melihat ayahnya menyanyi dan berkarya, malah kerap menemani bekas vokalis ST12 itu ke konsert.

“Membesar dalam lingkungan pemuzik membuatkan darah seni turut mengalir dalam diri. Namun, ayah tidak pernah memaksa saya mengikut jejak langkahnya.

“Cuma, saya akhirnya membuat pilihan untuk bergerak sebagai pemuzik secara profesional. Ia pilihan sendiri, tiada paksaan daripada sesiapa,” katanya.

Restu berkata, meskipun tidak dibimbing secara berterusan, bapanya sentiasa mendokong apa juga usaha yang dilakukannya. Malah untuk single perdananya, Saranghaeyo yang diperkenalkan pada 25 Mac 2022, ayahnya bertindak sebagai penerbit di samping KGS M. Ipul.

“Ayah merupakan pendukung terbesar saya. Dia sering menitipkan pesanan supaya saya fokus dan terus berkarya, meskipun nanti perjalanan saya berdepan dugaan serta rintangan.

“Secara jujur, karya ayah banyak mempengaruhi kerana sejak kecil, saya sudah ‘didoktrin’ dengan muzik yang dibawanya bersama ST12 dan Setia Band.

“Namun, saya juga punya kecenderungan dan rujukan muzik yang tersendiri. Itu yang cuba saya gabungkan dalam karya yang saya hasilkan,” katanya yang memperkenalkan single kedua, Jangan Ada Kata Pisah pada November lalu.

Bernaung di bawah label berpengaruh, Trinity Optima, Restu berkata, dia hanya mencuba nasib apabila mengajukan karya yang dihasilkannya kepada syarikat rakaman tersebut.

“Alhamdulillah, ia diterima, biarpun terpaksa menunggu agak lama. Hampir setahun saya menanti sebelum mendapat respons daripada syarikat rakaman.

“Bersama mereka, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dan membentuk identiti muzik Restu Van Houten sendiri tanpa dipengaruhi penyanyi sedia ada,” katanya.

Belajar di pesantren

Bercerita mengenai sisi peribadinya, anak sulung daripada dua beradik ini mengakui, ketika kecil dia agak pemalu dan suka menyendiri. Sifat itu berlanjutan sehingga dia memasuki sekolah rendah.

Meskipun meminati muzik, namun bakatnya tidak ke arah itu. Restu sebaliknya, lebih aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak, renang dan badminton.

“Apabila memasuki sekolah menengah, saya memutuskan untuk ke pesantren Darussalam. Di situ, saya belajar ilmu agama dan mengenal erti kehidupan.

“Malah, di situ juga hasrat untuk bermuzik turut bertunas. Saya mula menghasilkan lagu, belajar hal-hal berkaitan rakaman sehingga saya memasuki sekolah tinggi.

“Saya seterusnya mengambil keputusan pulang ke Bandung kerana situasi ketika itu tidak kondusif disebabkan pandemik. Saya cuba buat lagu dan akhirnya terhasil Saranghaeyo. Apabila diajukan kepada Trinity Optima, Alhamdulilah diterima,” katanya.

Wadah untuk berkarya

Menyifatkan muzik sebagai wadah untuk berkarya, Restu berkata, sokongan keluarga membuatkan dia semakin yakin meneruskan langkahnya sebagai anak seni.

Akuinya, sebagai anak kepada Charly, dia bersyukur diberikan kemudahan dan kelancaran untuk menentukan arah serta haluannya sebagai pemuzik. Situasi itu, bagaimanapun kata Restu, ada ketika membuatkan dia sedikit terbeban.

“Saya tidak lari daripada dibayangi ayah. Itu fakta kerana Charly adalah bapa saya. Apa yang mampu saya lakukan adalah buktikan kemampuan dan berdiri atas kekuatan bakat sendiri.

“Saya yakin dengan bakat yang saya ada. Alhamdulillah, awal perjalanan saya bermula mulus, tetapi itu belum membuatkan saya puas dengan apa yang telah dicapai.

“Saya mahu memberikan lebih lagi dan menghasilkan karya yang bagus untuk mengangkat nama Restu Van Houten pada posisi lebih aman,” katanya.

Konsert ST12 Reunion – 20 Tahun Charly Berkarya

Pada usia pembabitan dalam bidang nyanyian yang masih setahun jagung, Restu ternyata bertuah apabila diberi penghormatan untuk turut sama beraksi dalam Konsert ST12 Reunion -20 Tahun Charly Berkarya yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac depan.

Bakal beraksi bersama Firman Siagian dan dua penyanyi terkenal Malaysia, Jaclyn Victor serta Ezad Lazim, konsert itu kata Restu, menjadi titik permulaan untuk dia memperkenalkan bakatnya kepada peminat muzik di negara ini.

“Saya berharap karya saya dapat dinikmati dan diterima penggemar muzik di Malaysia. Ia ruang terbaik untuk saya membuktikan bakat. Sebagai penyanyi baharu, saya terpacu dan bersemangat memberikan karya terbaik untuk dinikmati pencinta muzik di dalam dan luar Indonesia.

“Ayah sering bilang, saya harus menjadi anak lelaki yang bertanggungjawab dan tetap fokus dalam apa yang saya usahakan. Itu yang akan saya buktikan pada konsert itu nanti,” katanya.

Tiket Konsert ST12 Reunion – 20 Tahun Charly Berkarya berharga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh diperoleh menerusi laman web: www.ticket2u.com.my. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button