Cerita ArtisHiburan

Bawa Watak Antagonis, Hazama Anggap Ia Satu Peluang Keemasan

Seringkali ditawarkan watak komedi dalam filem, tiba masanya penyanyi dan pelakon, Hazama beraksi dalam filem bergenre aksi yang lebih mencabar kemampuan selepas lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia persada seni tanah air.

Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi berkata, tawaran berlakon watak antagonis dalam filem genre aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif dianggap peluang keemasan buatnya.

“Sebelum ini, saya sering ditawarkan watak komedi atau baik dalam lakonan. Sampai masanya saya keluar dari zon selesa. Saya sukar menolak apabila ditawarkan watak penjenayah, Kadok.

“Pada masa sama, saya memang minat filem aksi yang mengangkat wira perairan negara walaupun bukan watak utama. Ini juga filem ketujuh lakonan dan saya berkampung di Pulau Langkawi, Kedah selama sebulan untuk memberi fokus pada filem ini. Lokasi lain ialah di kawasan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang selama tiga hari,” katanya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu menampilkan gandingan aktor dan aktres popular, Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Selain Hazama, filem ini dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlie, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Afandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Mengulas wataknya, kata Hazama, dia banyak berguru dengan pelakon senior, Adlin Aman Ramlie dalam filem itu.

“Saya bawa watak Kadok iaitu adik sepupu kepada ketua penjenayah iaitu Samat (Adlin) dalam filem ini. Saya bersyukur dapat berguru dengan Adlin, kami sudah kenal sejak dalam program realiti, Akademi Fantasia. Selain Adlin, saya juga dapat bekerja dengan pelakon dan pengarah hebat Sabri Yunus dalam filem ini.

“Bila berlakon dengannya, saya mendapat sama ‘vibe’ yang baik. Adlin banyak memberi bimbingan pada saya untuk menjiwai watak Kadok seperti dikehendaki skrip. Saya banyak berbincang dengan Adlin dan kami berkumpul dengan barisan pelakon yang memegang watak ahli kumpulan penjenayah supaya mudah mendapat keserasian,” katanya.

Ditanya babak sukar, kata Hazama, dia perlu menjayakan babak aksi perlawanan dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan).

“Bayangkan, saya perlu buat percubaan babak aksi berlawan dengan Saharul sebanyak 150 kali (take) untuk mendapatkan hasil terbaik mengikut tuntutan skrip.

“Ia adalah babak aksi pertama dan ia perlu dibuat sebanyak itu kerana perlu dapat sudut betul depan kamera dan mengikut masanya. Terus terang, babak aksi ini paling berat kerana memerlukan stamina yang tinggi,” katanya.

Dari segi latihan, kata Hazama, dia dibantu koreografer profesional untuk melakonkan babak aksi di lokasi penggambaran.

“Saya hanya berlatih satu hari untuk melakonkan babak aksi di lokasi. Saya sudah biasa buat persediaan dari segi stamina, sebelum masuk ke lokasi.

“Sudah namanya babak aksi, saya sakit badan selepas selesai penggambaran pada keesokan harinya,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan arwah Pitt selaku pengarah, Hazama berkata, mulanya dia takut kerana arwah nampak garang, tegas dan ‘out spoken’ di lokasi.

“Bila sudah bekerja dengannya, saya nampak arwah seorang yang terus terang dan jujur. Kami dapat meluangkan masa bersama bila babak saya sudah selesai.

“Saya masih ingat, pada hari terakhir penggambaran, kami berbincang perancangan membuat lagu runut bunyi filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang. Arwah mahukan lagu rock.

“Mesej terakhir arwah hantar juga mengenai rujukan lagu yang kami mahu hasilkan. Kami merancang berbincang mengenai lagu di studio, tetapi tidak kesampaian apabila arwah meninggal dunia,” katanya.

Hazama berkata, dia terkejut bila dapat tahu berita arwah meninggal dunia ketika itu.

“Saya dapat berita buruk ketika buat siaran langsung program Mentor pada 2019. Bayangkan, baru semalam arwah mesej dan kami juga bertemu sehari sebelumnya di lokasi. Sebagai pelakon, pastinya saya risau bila arwah tiada. Ini kerana hanya arwah tahu mengenai filem ini.

“Namun, masalah ini dapat diatasi Penerbit Eksekutif, Rozita Mat Isa yang akhirnya mengambil alih kerja suntingan filem,” katanya.

Ditanya harapannya, Hazama berkata, dia berharap penonton akan terhibur menonton filem ini.

“Semoga kutipan filem akan mencapai sasaran penerbit yang sudah mengeluarkan kos RM13 juta untuk memberikan terbaik pada filem ini.

“Pada masa sama, saya harap filem Coast Guard Malaysia akan menjadi antara filem yang berjaya, tahun ini,” katanya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang edaran Metrowealth International Group dan disokong Primeworks Studios (PWS), Media Prima Berhad (MPB).

Ia mula menjengah pawagam seluruh negara pada 2 Februari lalu dan ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button