Cerita ArtisHiburan

Roslan Shah Tegaskan Pihak Penganjur Singapore Expo Ada Sediakan Sekuriti

Selebriti Singapura, Roslan Shah menolak dakwaan segelintir pihak yang mengatakan tiada kawalan keselamatan di lokasi pelakon Kamal Adli diserang di acara Singapore Expo pada Ahad lalu.

Menurut Roslan, khidmat sekuriti memang ada disediakan penganjur setiap kali berlangsungnya acara ekspo berkenaan.

“Saya sudah terlibat dengan acara ekspo di sana beberapa tahun dan pihak penganjur tidak pernah abaikan tentang keselamatan. Pada hari kejadian juga, memang ada sekuriti di luar dewan.

“Cuma apabila benda dah nak jadi kita pun tak tahu. Penyerang pula datang ketika program sudah hampir habis, kira-kira pukul 9.30 malam. Bila individu tu panggil nama Kamal, sudah tentu mereka ingat dia juga adalah peminat yang mahu bergambar.

“Lagipun ketika itu semua selebriti dan peniaga sedang sibuk mengemas booth dan barang jualan masing-masing dan kejadian berlaku terlalu pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata dia memang tidak boleh mengulas lanjut biarpun berada di tempat kejadian memandangkan siasatan masih lagi berlangsung.

“Apa yang boleh saya katakan, Kamal berada dalam keadaan baik cuma Uqasha masih trauma. Lain-lain saya tidak mahu memandai-mandai kerana kes masih dalam siasatan,” katanya.

Roslan ditemui ketika sidang media majlis berbuka puasa bersama Khai Bahar bagi meraikan anak yatim dan miskin Raudhatul Al Faeez.

Pada masa sama, Roslan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana tidak lepas tangan dan bertindak cepat dengan membawa Kamal ke hospital.

“Terima kasih kepada penganjur kerana bertindak pantas dan memudahkan semua urusan. Mereka juga segera membawa Kamal ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan segala kos pembedahan ditanggung mereka.

“Apa pun saya berharap, rakan-rakan dari Malaysia tidak serik untuk menyertai acara di sini lagi dan semoga perkara seumpama ini adalah yang terakhir, tidak ada lagi selepas ini.

“Saya juga menyerus supaya tidak ada lagi pihak yang mengambil kesempatan dengan berkata yang bukan-bukan sehingga boleh mengeruhkan hubungan di antara dua negara.

“Kita ni serumpun, tidak ada gunanya berbalah. Serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengadilinya,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button